Semalam, seorang banduan bersyukur dan gembira dapat pulang ke pangkuan keluarga selepas 20 tahun menjalani hukuman penjara.
Artikel berkaitan: ‘Akhirnya Doa Saya & Ibu Diperkenankan’ – Banduan Syukur Dapat Pengampunan Setelah 20 Tahun Di Penjara
Terbaru, seorang lagi banduan berkongsi perasaannya selepas berjaya mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong sempena Hari Kebangsaan ke-63, baru-baru ini.
Tidak pandai guna telefon
Bayangkan daripada kawasan hutan pada 20 tahun lalu, kini dipenuhi rumah. Saya nak bawa motosikal pun rasa takut sebab banyak betul kereta dan lori atas jalan. Bukan macam dulu… televisyen sekarang pun banyak yang dah ‘kurus’ (skrin nipis). Motosikal pun dah canggih tak perlu dihidupkan guna kaki.
Apa yang membuatkan saya tersenyum tentunya melihat betapa ramainya anak saudara… sampai hari ini saya masih ragu-ragu dengan jumlahnya. Mungkin lebih daripada 15 orang sedangkan ketika saya tinggalkan keluarga, hanya ada lima orang sahaja.
Menurut banduan yang dikenali sebagai Ahmad, dia berasa kekok dan terkejut sewaktu keluar dari penjara. Tambahnya, dia turut sesat ketika hendak pulang ke kampung. Jelasnya lagi, dia tidak pandai menggunakan telefon pintar dan berasa kekok sewaktu melihat dunia luar. Di samping itu, dia memberitahu kawasan kampungnya juga kelihatan berbeza berbanding 20 tahun yang lalu.
Buat sujud syukur
Apabila tiba pada ayat ‘diperkenankan’ bagi rayuan kali kelima, saya gagal teruskan bacaan dan pegawai meminta saya melakukan sujud syukur sambil menambah saat itu beliau bagaikan tiada keupayaan lagi untuk berdiri kerana terlalu terkejut sehingga dipapah oleh pegawai penjara.
Saya tak tidur. Saya hanya berbaring atas simen. Semua peralatan termasuk tilam, selimut, bekas air dan segalanya telah saya agihkan kepada banduan lain. Pada hari terakhir, sebelum melangkah keluar dari pintu besi, saya dibawa berjumpa pegawai penjara. Di situlah saya dijamu makan durian. Ia adalah hadiah untuk pembebasan saya. Ketika itu jugalah air mata saya mengalir laju. Sudah 20 tahun tidak merasa enaknya durian.
Ahmad yang sepatutnya menjalani hukuman penjara sepanjang hayat merupakan seorang daripada 13 orang bekas ahli kumpulan Al-Ma’unah yang dibebaskan awal. Bercerita mengenai detik menerima pengampunan, Ahmad memberitahu dia menitiskan air mata semasa membaca rayuan kali kelima. Dia juga tidak dapat melelapkan mata sepanjang malam terakhir di penjara.
Berkongsi mengenai sambutan keluarga ketika dia pulang ke rumah, Ahmad memberitahu seluruh ahli keluarga dan rakan telah merainya. Bahkan, mereka turut menjamunya dengan pelbagai makanan dan mengadakan kenduri kesyukuran. Mengenai perancangan masa hadapan, Ahmad memberitahu dia akan membalas jasa keluarganya dan menggunakan kemahiran yang dimiliki sewaktu di penjara untuk mencari pekerjaan.
Sumber: Berita Harian