Kemuncak Anugerah Carta 114 baru sahaja melabuhkan tirai dengan menyaksikan tujuh pencalonan berentap di pentas akhir bagi merebut gelaran lagu, vokal dan persembahan terbaik.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Fattah Amin Pernah Juara Pertandingan Nasyid, Netizen Cadang Tubuh ‘Group’ – ‘Nyanyi Lagu Islamik Bukan Jiwang’
Artikel Berkaitan: Dituduh Tak Move On Nyanyi Lagu UNIC, Fitri Haris Diam Bukan Sebab Larikan Diri Tapi…
Menang dua kategori
Kumpulan UNIC yang membawakan lagu Sirih Pulang ke Gagang hasil ciptaan sepenuhnya Akmal Mustafa dan Aniq Muhai telah merangkul dua kategori iaitu vokal terbaik dan lagu terbaik.
Bagi kategori vokal terbaik, UNIC membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 dan trofi. Manakala kategori lagu terbaik, UNIC menerima RM20,000 dan trofi.
Persembahan terbaik
Kumpulan Darwish yang membawa lagu Abu Ubaidah pula telah merangkul kategori persembahan terbaik dan berjaya membawa pulang wang berjumlah RM10,000 dan trofi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah iaitu Puan Nadzariah Mohamed berkata, tujuan Anugerah Carta 114 diadakan adalah untuk memartabatkan dan mengangkat industri nasyid di Malaysia dan secara tidak langsung menyampaikan dakwah kepada orang ramai.
Bait-bait lirik dalam nasyid memang membawa ke arah kebaikan dan ini merupakan salah satu platform untuk mendidik jiwa seseorang.
InsyaAllah TV AlHijrah akan teruskan dalam mendidik masyarakat dan memberikan yang terbaik. Ini juga sebagai platform untuk penggiat seni muzik Islam supaya dapat berada di arus perdana.
Untuk info, Anugerah Carta 114 yang bersiaran secara langsung di TV AlHijrah pada Sabtu, jam 9 malam menampilkan tiga juri profesional yang diketuai oleh Farihin Abd Fatah, Amran Omar dan Razin Mestica.
Selain UNIC dan Darwish, lima peserta lain yang berentap di Anugerah Carta 114 termasuk Kumpulan Rabithah, Kumpulan Madinah, Haadi, Idris Shamsuddin, dan duo Halim Ahmad dan Aiman Sidek.
Penganjuran Anugerah Carta 114 kali kedua ini mengiktiraf karya nasyid sebagai medium seni yang mendidik jiwa dan memperkayakan budaya sekaligus mengangkat martabat karya nasyid tempatan dan memberi pengiktirafan kepada penggiat seni muzik Islam.
Penonton boleh mengikuti rancangan ini serta kesemua rancangan terbaik TV AlHijrah melalui saluran TV AlHijrah, platform media sosial rasmi, serta portal AlHijrah Online. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.tvalhijrah.com.