berita

Lagenda Bola Sepak Maradona Meninggal Dunia, Ini Antara ‘Kenangan’ Yang Ditinggalkan

November 26th, 2020 | by AnisAffandi
Kini Trending

Berita kematian lagenda bola sepak Argentina, Diego Maradona mengejutkan peminat bola sepak serata dunia. Beliau meninggal dunia malam tadi, disebabkan serangan jantung di rumahnya di Buenos Aires. Beberapa jam sebelum kematiannya, bekas bintang itu mengalami kesihatan yang teruk dan dirawat oleh doktor persendirian di rumahnya.

Bekas pemain tengah dan pengurus pasukan Argentina itu merupakan antara pemain terbaik sepanjang zaman dan juga bekas kapten Argentina. Sebelum ini, beliau baru sahaja selamat melakukan pembedahan otak bagi membuang darah beku di bahagian otaknya. Bukan sahaja dikenali dengan kemahiran hebat bermain bola, Maradona sering kali mendapat perhatian media dek kerana sikapnya yang sukar dijangka. 

Kejayaan Maradona sepanjang kariernya

Foto: These Football Times

Antara kejayaan utama yang dikecapi sepanjang kariernya sebagai pemain merupakan beliau dinamakan antara legenda sepanjang zaman apabila berjaya membantu Argentina muncul sebagai juara Piala Dunia 1986 di Mexico. Beliau juga merupakan kapten pasukan Argentina pada ketika itu.

Diego Maradona juga bermain untuk kelab Barcelona dan Napoli semasa zaman kegemilangannya selain memenangi dua gelaran Serie A bersama pasukan di Itali. Namun pada tahun 1994, beliau tidak dibenarkan untuk memasuki Piala Dunia 1994 kerana disyaki atas penggunaan dadah.

Selepas kejadian itu, Maradona membuat ‘comeback’ dengan menjadi jurulatih kepada pasukan Argentina. Walaupun kurang pengalaman menjadi jurulatih, beliau masih dapat membawa kemenangan dengan memberi inspirasi dan karisma kepada pasukannya.

Peristiwa ‘The Hand of God’

Pemergian lagenda ini juga turut meninggalkan peristiwa yang diingati yang berlaku dalam sejarah bola sepak iaitu The Hand Of God.  

Peristiwa yang diingati itu adalah ketika Maradona bermain bersama pasukan Argentina menentang England di Piala Dunia 1986 saat beliau menjaringkan gol menggunakan tangannya dan terkenal dengan panggilan Tangan Tuhan. Jaringan gol itu merupakan jaringan yang paling unik dan terkenal dalam sejarah bola sepak dunia, membuatkan Diego Maradona seorang lagenda.

‘Kaki gaduh’ dalam padang

https://www.youtube.com/watch?v=KdYIKeg0Ft0

Bekas pemain tengah Argentina itu juga terlibat dalam beberapa pergaduhan di atas padang. Antara pergaduhannya yang terkenal sehingga digantung beberapa perlawanan, adalah ketika perlawanan akhir Copa del Rey 1984, Barcelona menentang Atletico Madrid.

Pergaduhan itu berlaku selepas Maradona dijatuhkan oleh pemain Atletico Madrid, Miguel Angel Sola dan provokasi antara kedua-dua pasukan bermula. Beliau digantung selama 3 bulan sebelum bermain untuk pasukan Napoli. 

Beliau juga pernah terlibat dalam pergaduhan atas padang yang lain seperti pasukan Athletic Bilbao.

Sumber: The Star.

SKIP THIS AD ×