berita

Lagi 2 Kontena Sardin Mengandungi Cacing Ditahan, Jenama Ini Anda Mungkin Selalu Makan

June 27th, 2018 | by Amat
Isu & Kontroversi

Sebelum ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pernah mengambil maklum mengenai laporan terdapat cacing dalam tin sardin dipercayai produk itu diimport dari China. Terbaru, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang menahan dua kontena berisi produk sardin Canned Mackerel in Tomato Sauce Jenama RANESA didapati mengandungi sejenis cacing, nematoda.

Menurut Metro, Ketua Pengarah MAQIS, Datuk Mokhtaruddin Husain berkata dua kontena telah ditahan di pintu masuk Terminal Kontena Utara Butterworth pada 14 Mei lepas.

Boleh menyebabkan penyakit Anisakiasis

Cacing nematoda dikesan berkemungkinan jenis Genus Anisakis spp yang boleh menyebabkan penyakit Anisakiasis kepada manusia. Mengikut undang-undang, pengimportan ikan sardin perlu mendapatkan permit import dari Jabatan MAQIS. Walaupun permit import diberikan, pengimport perlulah mematuhi bahawa ikan sardin yang diimport mestilah bersih dan selamat dimakan oleh rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, dua kontena terbabit membawa dagangan sardin dianggarkan seberat 36,720 kilogram dan bernilai RM199,797.24 ditahan untuk tindakan lanjut.

Kerajaan memandang serius

MAQIS melakukan pemeriksaan dan penguatkuasaan di 57 pintu masuk seluruh negara, bagi memastikan barangan diimport mengikut piawaian ditetapkan serta selamat. Kami menggesa semua pihak terutama pengimport supaya mematuhi undang-undang dan peraturan yang sudah ditetapkan oleh kerajaan dan memainkan peranan bersama di dalam menjaga biosekuriti negara.

Kerajaan memandang serius dan mengambil berat terhadap isu-isu yang membabitkan aspek biosekuriti atau kawalan penyakit, perosak merbahaya dan keselamatan makanan yang boleh mengancam negara.

Pihak berkuasa akan terus menjalankan pemeriksaan terhadap produk ikan sardin dalam tin yang diimport dan mengawal seluruh pintu masuk negara bagi memastikan isu sama tidak berulang lagi.

Tindakan akan diambil

Tindakan akan diambil terhadap syarikat pengimport produk berkenaan kerana tidak mematuhi Akta Makanan 1983. Hal ini berikutan mengandungi cacing jenis nematoda daripada Genus Anisakis spp di dalam tin sardin.

Sumber: Metro

SKIP THIS AD ×