Umum sedia maklum, rancangan I Can See Your Voice Malaysia musim ketiga yang diadaptasi dari program realiti popular di Korea Selatan bakal berakhir tidak lama lagi. Namun malam hujung minggu korang bakal digamatkan dengan rancangan baru, Immortal Songs pula!
Immortal Songs merupakan program hiburan adaptasi popular dari Korea Selatan yang bakal mengabungkan kesemua penyanyi baharu dan lama beraksi di atas pentas pada setiap minggu selama tujuh episod bermula 30 Ogos 2020.
Seramai 42 penyanyi menyahut cabaran dalam menggubah semula lagu ke genre muzik yang lain dari karyawan muzik lagenda. Perlu diakui bukan mudah untuk setiap penyanyi ini menggubah muzik yang sudah pastinya mencabar bakat kreativiti masing-masing.
7 karyawan muzik lagenda
Rancangan Immortal Songs yang ditaja oleh Farm Fresh sebagai penaja utama ini akan mula bersiaran pada 30 Ogos 2020, jam 9.00 malam hanya di TV3. Program ini membariskan enam orang penyanyi tempatan dan seorang karyawan muzik lagenda pada setiap minggu.
Setiap episod keenam-enam penyanyi akan mempersembahkan sebuah lagu lipihan mereka yang diambil daripada lagu karyawan lagenda. Penyampaian lagu tersebut telah diberi nafas baru dengan gubahan lagu dan muzik berbeza mengikut kreativiti masing-masing.
Antara karyawan muzik lagenda yang ditampilkan adalah Ella, Ning Baizura, Datuk Jeffrydin, Datuk Khatijah Ibrahim, Fauziah Latiff, Datuk M. Nasir dan Fauzi Marzuki.
Siapa pemenang ‘susunan lagu terbaik?
Setelah tamat persembahan, lapan juri akan menilai persembahan nyanyian dan gubahan lagu yang disampaikan. Pemberian markah adalah diadili juri sepenuhnya. Penyanyi yang mendapat markah tertinggi pada episod tersebut akan dinobatkan sebagai ‘susunan lagu terbaik’.
Lebih menarik lagi, pihak penaja iaitu Farm Fresh akan menghadiahkan selama enam bulan bekalan susu Farm Fresh kepada badan kebajikan pilihan pemenang artis.
Antara penyanyi yang akan menyahut cabaran ini adalah Amir Masdi, Sarah Suhairi, Hael Husaini, Ernie Zakri, Aina Abdul, De Fam, Naim Daniel, Wany Hasrita, Syamel, Indah dan ramai lagi.
Dimeriahkan pengacara terkenal
Kemeriahan Immortal Songs untuk tujuh episod ini diserikan dengan pengacara Ain Edruce di pentas utama, manakala Amy Mastura dan Fad Bocey menjadi pengacara belakang pentas.
Buat penonton di rumah, anda juga boleh terlibat serta dalam menilai dan menyokong persembahan penyanyi kegemaran anda. Caranya mudah sahaja, anda boleh hantar undian persembahan kegemaran melalui laman www.xtra.com.my/immortalsongs di antara waktu 9.00 hingga 10.30 malam sahaja pada episod bersiaran.
Jadi, buat peminat muzik tempatan, jangan lupa untuk beri sokongan anda menyaksikan Immortal Songs pada setiap hari Ahad (bermula 30 Ogos 2020), jam 9.00 malam hanya di TV3. Atau anda juga boleh boleh menonton terus di website www.xtra.com.my/immortalsongs.