berita

Laksa Baling ‘Beracun’ Korban 2 Nyawa, KKM Sahkan Terima 42 Lagi Kes

October 10th, 2018 | by faris
Kini Trending

Kementerian Kesihatan sebelum ini mengesahkan laksa yang dijual di sebuah gerai di Baling, Kedah menyebabkan 19 kes keracunan makanan dengan dua mangsa meninggal dunia selepas dilaporkan memakan laksa berkenaan.

Menurut Harian Metro, pengusaha laksa terbabit bagaimanapun menafikan hal berkenaan pada mulanya kerana mendakwa jika laksa jualan beracun, sudah tentu dia dan keluarga mati dahulu kerana mereka akan merasa laksa tersebut sebelum dijual.

Tunggu keputusan sampel

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan peningkatan 42 kes keracunan makanan yang dipercayai berkaitan dengan laksa gerai tersebut. Ketua Pengarahnya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 14 daripada kes terbabit dilaporkan di Kedah, tujuh di Perak dan 21 kes di Selangor.

Katanya, hasil siasatan mendapati pesakit terbabit memakan laksa yang dibeli dari gerai yang sama sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes terkini adalah sebanyak 61 kes.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah sudah menjalankan pemeriksaan terperinci terhadap premis terbabit dan siasatan mendapati ramuan laksa yang dijual tiada kaitan dengan ‘Iceberg Lettuce’ seperti yang tular di media sosial.

Kita masih menunggu keputusan daripada sampel makanan yang sudah dihantar ke makmal untuk analisa. Selain itu, sampel najis daripada dua kes keracunan makanan di Baling adalah positif Salmonella spp.

2 mangsa meninggal setakat ini

Dilaporkan di media sebelum ini, dua mangsa meninggal dunia membabitkan 24 kes di Kedah iaitu 16 kes dari daerah Baling, lima kes dari daerah Sik dan tiga dari daerah Kulim, 21 kes di daerah Hulu Langat, Selangor dan 16 kes dari Hulu Perak, Grik.

Seramai 21 pesakit dirawat sebagai pesakit iaitu lima di Hospital Grik, lima di Hospital Pantai Sungai Petani, empat di Hospital Baling, tiga di Hospital Sik, tiga di Pusat Perubatan UKM (PPUKM) dan satu di Hospital Columbia Asia.

Selebihnya, 38 pesakit dirawat sebagai pesakit luar, dan semuanya dilaporkan dalam keadaan stabil.

Sumber: Harian Metro

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×