Baru-baru ini Kementerian Kesihatan Malaysia mengarahkan sebuah gerai yang menjual laksa di Baling, Kedah ditutup. Ini ekoran daripada 19 kes keracunan makanan dan 2 mangsa meninggal dunia dipercayai berpunca daripada laksa tersebut.
Artikel berkaitan: Laksa Baling ‘Beracun’ Korban 2 Nyawa, KKM Sahkan Terima 42 Kes Lagi
Adik kepada mangsa Allahyarham Abdul Rahim Abdul Manaf berkata mereka sekeluarga redha dengan ketentuan dan bertindak tidak mengambil tindakan undang-undang selepas dinasihati bapa.
Reda dengan ketentuan
Menurut laporan Sinar Online, hidangan laksa itu disahkan mengandungi bakteria salmonella sehingga menyebabkan sesiapa yang makan akan mengalami kesakitan perit pada bahagian perut. Bagaimanapun, adik kepada Allahyarham Abdul Rahim yang enggan dikenali namanya itu bertindak untuk tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang selepas dinasihati ayahnya.
Memang kami sekeluarga ada terfikir hendak ambil tindakan undang-undang, namun ayah mengingatkan kami supaya reda dengan ketentuan Ilahi.
Mangsa masih menerima rawatan
Sementara itu, anak kepada mangsa Abdul Manan Abdul Hamid berkata keracunan makanan yang dihadapi ayahnya itu dipercayai sudah merebak ke bahagian hati. Bagaimanapun, keadaan kini kesihatan ayahnya semakin pulih seperti biasa.
Pada masa ini, pihak hospital masih memantau keadaan kesihatan ayah dan kami masih belum dimaklumkan tarikh bersesuaian untuk dia dibenarkan pulang. Apa pun, kami bersyukur kesihatan ayah kini semakin baik.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Dr Ding Lay Ming memaklumkan terdapat lagi empat kes pesakit mengalami simptom keracunan makanan akibat laksa dari Kupang, Baling. Bagaimanapun, kesemua mangsa itu masih menerima rawatan di Hospital Gerik.
Semua klinik kesihatan dan hospital di Perak juga telah dimaklumkan untuk menotifikasi pejabat kesihatan daerah masing-masing jika mengesan kes keracunan makanan yang ada kaitan dengan laksa dari gerai laksa di Kupang, Baling, Kedah dengan segera.
Bakteria Salmonella
Bakteria Salmonella merupakan sejenis bakteria jahat yang ada dalam perut dan usus setiap manusia dan ianya mirip dengan penyakit gastrik. Bakteria Salmonella boleh didapati dari sumber makanan yang berasal dari haiwan seperti daging, susu, ayam, produk tenusu, telur dan makanan laut juga beberapa jenis sayur dan buah-buahan.
Sekiranya terkena penyakit disebabkan bakteria Salmonella ini, risikonya adalah membawa kepada kematian. Oleh itu, pastikan segala sayuran dan daging dibasuh dengan teliti dan bersih bagi mengelak terkena jangkitan Salmonella ini.
Sumber: Sinar Online, my healthgov