berita

Langkah Lazarul Kecundang, 4 Protege Berentap Rebut Gelaran Juara Mentor 7

December 24th, 2018 | by faris
Shout Out!

Kesemua protege tidak mensia-siakan peluang beraksi di pentas separuh akhir Mentor 7 semalam. Fokus diberikan kepada Azmirul dan Ranisha yang diselamatkan Mas Idayu dari tersingkir setelah menduduki 2 tempat tercorot minggu lalu.

Semalam, kesemua protege menunjukkan ‘belang’ dengan persembahan solo selain lagu duet dengan mentor masing-masing. Nampaknya kesemuanya enggan mengalah sebelum benar-benar melangkah ke pentas akhir.

Azmirul sakit mental di pentas

Rata-rata protege ‘all-out’ memberikan yang terbaik bagi memikat hati juri dan meraih perhatian penonton di rumah untuk mengundi mereka.

Pentas saingan dibuka dengan Pasya mengalunkan ‘I Don’t Wanna Close My Eyes’ dengan rendisinya yang tersendiri. Kemudian dia disertai ‘sifunya’ Aizat mengambil alih pentas dengan kerancakan lagu asal M. Nasir, Juwita Citra Terindah.

Protege Hafiz Suip, Azmirul ‘menggila’ dengan imej orang kurang siuman menghiburkan dengan lagu Nakal. Mas Idayu selaku juri tetap memuji usaha dan kualiti ditunjukkan Azmirul dan Hafiz dan disifatkan sebagai terbaik.

Bangkit dari episod duka minggu lalu kerana hampir tersingkir, Ranisha menebusnya dengan persembahan penuh meyakinkan. Anak didik Syafinaz Selamat ini membuatkan kedua-dua juri tetap memberi standing ovation di akhir persembahannya menyanyi ‘Loving You’ dan ‘And I Am Telling You’.

Lazarul kecundang

Satu-satunya mentor dengan 2 protege, Syafinaz terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Lazarul yang terpaksa berpuas hati hanya di separuh akhir. Turut berada di tangga terbawah adalah Azmirul.

Lazarul mendendangkan ‘I Have Nothing’ (Whitney Houston) kemudiannya diselangi lagu berbahasa Itali, ‘O’ Sole Mio’ untuk terakhir kali di pentas Mentor.

Juri Dato’ Wah Idris mempersoal tindakan mentor memberikan lagu penyanyi wanita untuk Lazarul yang dirasakan masih menampakkan sisi kewanitaan lagu itu ketika disampaikan peserta berkenaan. Pun begitu, Mas Idayu tidak bersetuju dengan pendapat itu dan merasakan protege berkenaan masih dinamik dan bertenaga.

Sayang seribu kali sayang, langkah Lazarul terhenti di peringkat separuh akhir sekaligus hanya empat protege mara berentap gelaran juara.

Jangan lupa untuk menonton konsert yang penuh mendebarkan ini untuk mengetahui siapakah yang bakal merangkul gelaran juara Mentor 7 minggu depan. Kongsikan komen anda di media sosial dengan menggunakan hashtag #Mentor7.

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×