berita

Lari Turun Pentas Sebelum ‘Party’ Minuman Keras Bermula, Pelumba Malaysia Ini Terima Pujian

June 15th, 2021 | by Amat
Kini Trending

Sumber foto: Utusan TV

Pelumba motosikal iaitu Syarifuddin Azman telah memenangi perlumbaan pertama di Moto3 Kejohanan FIM CEV Repsol 2021 yang diadakan di Litar Catalunya, Sepanyol. Pelumba muda itu telah menamatkan saingan 16 pusingan dengan mencatat 29 minit dan 32.553 saat dan meninggalkan dua pelumba Sepanyol sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Lebih menjadi perhatian ramai apabila kelihatan Syarifuddin mengelakkan diri dari terlibat untuk meraikan kejayaan itu dengan minuman keras setelah usai menyanyikan lagu Negaraku.

Mengharumkan nama Malaysia

Memetik laporan Astro Awani, Syarifuddin memulakan perlumbaan di tangga ke-10 sebelum berada dalam kelompok hadapan dan dia mula mengatasi pelumba-pelumba lain dengan mendahului di selekoh ke-10 sehingga ke garisan penamat. Dia meninggalkan dua pelumba dari Sepanyol iaitu David Munoz Rodriguez dan Jose Antonio Rueda Ruiz. Kedua-dua pelumba Sepanyol itu hanya meraih di tempat kedua dan ketiga.

Susulan kejayaan yang diperolehi Syarifuddin ini telah berkumandang lagu Negaraku di bumi Barcelona.

Dipuji netizen

Bukan hanya menjuarai perlumbaan di peringkat dunia, malah, keperibadian dan tindakan Syarifuddin juga dipuji ramai netizen. Pelumba berusia 20 tahun itu kelihatan bertindak turun dari platform dan menuju ke belakang pentas setelah selesai menyanyikan lagu Negaraku.

Ini adalah kerana dia cuba untuk mengelak dari menyambut kemenangan dengan percikan minuman keras yang dilakukan oleh dua lagi pelumba dari Sepanyol.

Membanggakan negara

Sementara itu, meninjau di ruangan komen pada posting video tersebut yang dimuat naik melalui pages Facebook OK Info Orang Kita, rata-rata netizen memuji tindakan Syarifuddin yang masih menjaga nama negara dan keperibadian sebagai seorang Muslim.

Sumber: The Malaysia Reserve, Astro Awani, OK Info Orang Kita

SKIP THIS AD ×