Konsert Patah Hati 2.0 anjuran ANS Diversified Sdn Bhd yang berlangsung dengan gemilang di Zepp KL, semalam menampilkan kehebatan menerusi gandingan tujuh artis terkenal di satu pentas yang sama.
Artikel Berkaitan: Bunkface Undur Diri, Ernie & Syamel Bakal Meriahkan Konsert Patah Hati 2.0
Artikel Berkaitan: Konsert Patah Hati 2.0 Temui Peminat Pada 23 November Ini, Segera Rebut Tawaran ‘Early Bird’!
Lagu hits dan malar segar
Lebih daripada 2,000 penonton terhibur dan tersentuh emosi tatkala menyaksikan persembahan Ernie Zakri, Syamel, Aisha Retno, Nadeera, Ismail Izzani, Naim Daniel dan Neeta Manis. Menyampaikan lagu-lagu bercorak cinta, galau dan patah hati daripada lagu hits masing-masing selain lagu sentimental malar segar dendangan artis lagenda Malaysia dan Indonesia.
Antara kelainan yang dipersembahkan dalam konsert kali ini adalah Ernie Zakri menyanyikan lagu terbarunya. Lagu tersebut sedang trending di platform media sosial terutamanya di Youtube dan turut dimuatkan dalam albumnya, Aura.
Ernie juga tidak keseorangan di pentas apabila dia dan suaminya, Syamel berduet dalam lagu Ella, Sembilu. Syamel turut menyanyi lagu terbarunya, belakang tabir selain lagu-lagu hitsnya sendiri.
Aisha Retno yang sebelum ini pernah muncul dalam konsert Patah Hati bulan Mac yang lalu turut memperdengarkan lagu terbarunya, Cukuplah dan Terbang.
Tidak kurang mendapat sambutan hangat adalah Naim Daniel bersama band Muah yang julung kali memperdengarkan lagu Kajang dan BBF.
Nadeera pula memilih lagu malar segar Francissca Peter, Fauziah Latif dan Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk menghiburkan peminatnya selain lagu ‘Emas’ miliknya sendiri.
Di samping itu, Ismail Izzani tampil hebat beraksi bersama lagu Luar Biasa dalam versi akustik sementara Neeta Manis menyampaikan lagu Depresi, Hanya Mimpi dan Move On.