berita

Lelaki Gemar Memakai Baju Kolar V, Gay?

September 21st, 2012 | by Ai
Kini Trending

Sejak beberapa minggu lalu, isu mengenai “Garis Panduan Bagi Menegenali Simptom Golongan Gay dan Lesbian” sering diperkatakan di dada-dada akhbar. Merujuk laporan Malaysia Kini bertarikh 13 September 2012 yang lalu, pihak Menteri Pelajaran sendiri telah menyokong garis panduan ini kepada ibu bapa untuk mengenal pasti simptom gay dan lesbian di kalangan anak mereka.

Menerusi laporan tersebut, golongan yang dikatakan memiliki simptom-simptom gay adalah; mereka yang mempunyai badan sasa dan suka menunjukkan aset di badan dengan memakai baju berkolar V dan tanpa lengan, gemar memakai baju yang ketat dan mengikut tubuh badan dengan warna yang terang, lebih cenderung minat kepada lelaki, serta suka menggayakan beg bersaiz besar seperti beg wanita.

Namun begitu, menurut laporan Kosmo Online pula, pihak Kementerian Pelajaran tidak pernah memberi pengesahan kepada mana-mana pihak untuk menyediakan atau mengeluarkan garis panduan mengenai golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) untuk tujuan pengedaran ke sekolah-sekolah seluruh negara seperti mana dilaporkan oleh media sebelum ini.

Berikutan isu garis panduan ini, pihak OHBULAN! telah menghubungi seorang blogger dan juga bekas wartawan hiburan, Joe Lee, bagi mengetahui pendapatnya berkaitan isu lelaki gay seperti mana yang diperkatakan oleh media-media masa sebelum ini. Menurut Joe Lee, garis panduan yang dikeluarkan sama sekali tidak berasas dan sangat mengarut.

“Bagi saya garis panduan tersebut sungguh bodoh dan tak masuk akal. Tak kan lah semua lelaki yang selekeh, boroi dan buruk tu lelaki sejati? Sekarang ini kita pun kena ikut peredaran masa dan fesyen. Tak semestinya semua lelaki yang memakai baju berkolar V dan membawa beg besar tu gay. Sekarang ini kan dah banyak beg untuk lelaki yang bersaiz besar. Lagipun lelaki sekarang bukannya keluar bawak kunci, dompet dan telefon sahaja. Sekarang ini beg besar pun berguna untuk lelaki  sebab mereka nak isi barang-barang penting seperti laptop, pengecas telefon dan barangan lain,” ulas Joe dengan tegas.

Disamping itu, Joe Lee turut menyatakan bahawa tiada sebarang identiti yang boleh dikaitkan dengan golongan sebegini dan semuanya terpulang kepada individu itu sendiri untuk meletakkan diri mereka sebagai lelaki tulen ataupun gay. Joe Lee turut melabelkan golongan yang termakan dan mengikut garis panduan ini adalah antara golongan yang bersifat kolot dan tidak mampu berfikir dengan logik.

“Sebenarnya tak ada stereotype untuk kita kenali sama ada lelaki tersebut gay ataupun tidak. Sekarang ini, macam-macam orang boleh buat untuk tutup kesalahan mereka. Ada yang sudah berkahwin pun belum tentu lagi dia lelaki tulen, sebab semua orang boleh menyamar dan sembunyikan identiti sebenar diri mereka,” ujar Joe dengan panjang lebar.

Pada masa yang sama, pihak OHBULAN! turut mendapatkan kenyataan ringkas daripada pelakon dan penyanyi kumpulan Ruffedge, Zain Hamid, yang dahulunya terkenal dengan lagu “Tipah Tertipu” dan “Lemas.” Menurut Zain pakaian langsung tidak melambangkan sama ada seseorang itu gay ataupun tidak. Sebagai lelaki yang sudah berkahwin dan mempunyai anak, Zain turut akui dia memiliki koleksi baju-baju berkolar V.

“Sebenarnya pakaian tetap pakaian dan ia langsung tidak melambangkan sama ada lelaki itu gay ataupun tidak. Bagi saya tak ada masalah untuk memakai baju berkolar V. Saya sendiri pun ada simpan koleksi baju-baju tersebut. Jadi itu semua hanya persepsi orang sahaja. Tidak kisah la nak pakai apa pun asalkan ia sesuai dan nampak kemas,” ulas Zain.

Nampaknya, sebagai lelaki mereka sendiri tidak bersetuju dengan garis panduan tersebut. Anda pula bagaimana? Adakah anda bersetuju? Apa pun masing-masing mempunyai pendapat mereka yang tersendiri.

SKIP THIS AD ×