Seorang lelaki yang bergelar suami dan bapa sepatutnya bertanggungjawab menjaga, menyayangi dan menjadi pelindung kepada keluarganya. Namun apa yang menyedihkan, pada hari ini kita sering sahaja mendengar berita membabitkan perilaku keji seorang lelaki yang sanggup bertindak di luar batasan terhadap ahli keluarganya sendiri.
Terbaru, Harian Metro melaporkan seorang suami didakwa telah melakukan banyak perbuatan seks di luar tabii terhadap isteri dan anaknya selama berbulan-bulan.
Liwat isteri 104 kali
Menurut laporan itu, tertuduh berusia 42 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar semalam dengan 104 pertuduhan liwat terhadap isterinya yang dilakukan sejak Mac hingga Jun lalu.
Perbuatan liwat itu didakwa dilakukan dengan purata dua atau tiga kali hampir setiap hari tanpa kerelaan isterinya dan dilakukan antara 1 Mac 12.30 tengah malam hingga 3 Jun 11.30 malam di rumah mereka.
Untuk kesemua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Amang seksual terhadap anak
Namun apa yang lebih menjijikkan, tertuduh yang juga merupakan seorang penjawat turut didakwa dengan tujuh pertuduhan amang seksual terhadap tiga anak perempuannya yang berusia 12, 10 dan 5 tahun.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 9 pagi 4 Mei hingga 9 malam 7 Mei, di rumah mereka di Sungai Siput.
Untuk kesalahan itu, dia didakwa dengan enam pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017 manakala satu pertuduhan mengikut Seksyen 14 akta sama yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta tambahan lima tahun dan dua sebatan jika membabitkan anak.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi keseluruhan 111 pertuduhan yang dihadapi.
Sumber: Harian Metro, Astro Awani