Pelantun suara lagu ‘Hijau’ Datuk Zainalabidin, memberi kesedaran buat kaum lelaki agar tidak ‘bersembunyi’ sekiranya mengalami masalah kegagalan fungsi alat kelamin.
Artikel Berkaitan: Kena Kecam Sebab Tegur Gaya Fesyen Artis, Zainal Abidin Sifatkan Segelintir Peminat Kurang Ajar & Bodoh
Tak perlu segan
Menerusi laporan Harian Metro, Zainal berkata masalah tersebut boleh diperbaiki sekiranya mendapatkan khidmat pakar bertauliah. Ujar Zainal, dia pernah berdepan masalah tersebut sebelum ini. Oleh sebab itu, dia memberi kesedaran kepada kaum lelaki agar memandang serius masalah ini memandangkan ia mampu memudaratkan hubungan suami isteri dan rumah tangga.
Sebenarnya, tak perlu segan untuk bersuara mengenainya kerana apabila kita berkongsi, ia memberi peluang kepada mereka yang ada masalah sama seperti pernah saya lalui, untuk berusaha dan memperbaiki masalah itu.
Kalau disimpan, ia akan mengganggu hubungan dalam rumah tangga dan hubungan suami isteri itu sendiri akan menjadi semakin pudar. Ia akan mendatangkan satu perjalanan hidup yang negatif.
Kalau saya berkongsi, maka, akan lebih ramai orang yang tahu dan pergi untuk melakukan pemeriksaan.
Tambah Zainal lagi, dia juga mendapatkan rawatan untuk mengembalikan fungsi alat kelaminnya selepas mendapatkan nasihat pakar.
Lemah alat kelamin ini bukanlah satu penyakit, tetapi satu kelemahan yang disebabkan oleh faktor usia. Saya sendiri pun dah menjangkau usia 60 tahun. Jadi, memang patut kalau ia tak berfungsi seperti mana orang muda. Tambahan pula, disebabkan kencing manis, darah tinggi, tahap kolesterol dan sebagainya, ia mengganggu kesihatan kelamin saya dan tak berfungsi seperti biasa. Ia beransur-ansur menjadi semakin lemah.
Jadi, saya berjumpa dengan doktor dan mereka nasihatkan saya untuk menjalankan prosedur P-Shot dan makan ubat. Sekarang, saya dah nampak kemajuan selepas melakukan prosedur itu.
Tapi, tidaklah ia kembali 100 peratus seperti mana ketika saya berusia 18 tahun. Sekurang-kurangnya, ia menyelamatkan keadaan rumah tangga saya sebelum ia menjadi lebih teruk.
Pada masa yang sama, Zainal juga memberi pesanan kepada mereka yang berdepan masalah sama supaya tidak membeli produk tidak sahih keberkesanannya, yang kini dijual secara terbuka di pelbagai platform media sosial.
Sumber: Harian Metro