Sehingga ke hari ini jejak Mohammad Ashraf Hassan atau Acap yang hilang ketika mengikuti acara Gopeng Ultra Trail 2019 masih belum dapat dikesan. Bagaimanapun, operasi pencarian masih lagi diteruskan.
Terbaharu, ibu Acap, Siti Maznah Khamis meluahkan perasaannya yang kini telah menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan Allah berikutan kehilangan anaknya itu.
‘Berserah kepada Allah..’
Menerusi laporan Harian Metro, Ibu Acap kini telah redha dan menyerahkan kepada ketentuan Allah untuk mempertemukan anakya selepas semua pihak sudah berusaha namun masih gagal menemui anaknya.
Meredah hutan belukar, menuruni sungai, melalui bukit, gua semua sekali, cukup dah, kita rasa usaha itu sangat-sangat besar untuk mencari anak saya, selebihnya berserah kepada Allah.
Di mana noktahnya itu hanya Allah yang tahu, kita memang tiada daya dan tidak tahu noktahnya di mana, kita akan terus berdoa.
‘Tolong sedekah Ayat Kursi..’
Menurut ibu Acap lagi, Acap adalah seorang anak yang baik dan menghormati ibu bapa dan ahli keluarga yang lain. Ibunya juga memohon kepada seluruh rakyat Malaysia untuk sedekahkan Ayat Kursi untuk Acap.
Saya minta sangat rakyat Malaysia semua sekali, selepas 9 malam ini, tolong sedekah Ayat Kursi untuk Mohammad Ashraf, saya minta sangat, cukuplah itu saja yang saya minta.
Tambahan, ibunya juga turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus mencari Acap. Baginya, kehilangan Acap adalah satu ujian daripada Allah dan menerima dengan hari terbuka.
Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua rakyat yang membantu mencari anak saya, kepada agensi mencari dan menyelamat serta sukarelawan.
Orang kata mereka adalah pejuang tidak didendang tapi saya akan dendangkan mereka dengan doa.
Ini adalah kali pertama anaknya itu hilang walaupun sebelum ini pernah mengikuti pelbagai aktiviti lasak termasuk di Lombok, Indonesia.
Sumber: Harian Metro