Personaliti media sosial, Ridhuan atau lebih dikenali sebagai Abang Bestz mendedahkan pernah dipandang hina hanya kerana menjadi seorang badut di Sogo.
Artikel Berkaitan: Pertaruhkan 13 Kategori, Malam Berprestij TikTok Awards Malaysia Bakal Gegarkan Pentas MITEC Pada 27 Ogos Ini
Artikel Berkaitan: ‘TikTok Bawa Saya Lebih Dekat Dengan Keluarga’ – Mek Yun
Namun kehidupannya berubah selepas menjadi seorang pencipta kandungan dengan menghasilkan video silap mata atau magik di aplikasi TikTok.
Pernah diludah, dihina
Menurut Abang Bestz atau nama sebenarnya, Muhamad Ridhuan Kamarudin, 27, dia tidak mempunyai ramai kawan pada waktu itu kerana mereka menganggap dirinya sebagai pengemis.
Saya badut pertama yang menjual belon dengan bayaran seikhlas hati. Saya buat stail busking. Di sinilah saya belajar dan menimba pengalaman. Kali terakhir saya menjadi badut adalah pada tahun 2017. Allah beri saya rezeki daripada kena ludah, kena halau.
Lepas tu saya masuk je TikTok, ia mengubah hidup saya 360 darjah. Saya ada ramai kawan. Sekarang saya tidak sangka dapat bertanding dalam sebuah majlis anugerah. Saya percaya ini adalah berkat doa daripada penonton terutamanya kanak-kanak.
Abang Bestz ketika ditemui OhBulan! di sidang media TikTok Awards Malaysia 2023, di The Godown Arts Centre baru-baru ini memberitahu, dia mula bermain TikTok untuk menghilangkan stress disebabkan hilang pekerjaan semasa Perintah Kawalan Pergerapan (PKP) .
Saya pandai buat magik masa saya kecil tapi saya tak tahu nak kembangkan bakat saya dekat mana. Saya tengok ramai orang berjaya dekat TikTok. Saya bermula main TikTok dari zaman PKP. Saya nak hilangkan stress sahaja waktu itu dan kemudian saya buat video. Orang mula suka dengan video saya.
Untuk info, sebanyak 13 kategori dipertandingkan yang terbahagi kepada Pilihan Juri dan Pilihan Peminat.
Tujuh kategori Pilihan Peminat (People’s Choice) adalah Creator of the Year, Rising Star of the Year, Popular Creator of the Year, Popular Animation Account of the Year, Celebrity of the Year, Live Creator of the Year dan TikTok Shop Creator of the Year.
Sementara itu, menerusi Pilihan Juri (Judge Pick) memperlihatkan enam kategori dipertandingkan yang mana semua pencalonan dipilih berdasarkan kriteria ditetapkan barisan panel eksekutif.
Kategori yang dipertandingkan adalah Best of Beauty & Fashion, Best of Education, Best of Entertainment, Best of Foodie, Best of Gaming dan Best of Sports.
Acara karpet merah akan disiarkan di TV9 pada jam 8.30 malam manakala TikTok Awards Malaysia bersiaran secara langsung di TV3 serta di platform TikTok jam 9.00 malam.