berita

Lewat Ke Set Penggambaran, Amyra Rosly Kecewa Dituduh Tidak Berdisiplin

March 18th, 2014 | by Ai
Isu & Kontroversi

AMYRA ROSLY

Amyra Rosly bukanlah nama asing dalam industri hiburan tanah air. Walaupun masih baru dalam bidang lakonan, Amyra dilihat mempunyai potensi untuk terus maju dalam kariernya.

Namun, imej pelakon drama Ku Cinta Kau Seorang ini sedikit tercalar apabila dia dituduh tidak berdisiplin dan datang lewat ke lokasi penggambaran hingga menyebabkan dia diselar seorang pelakon senior.

Sedih dan kecewa dengan tuduhan tersebut, Amyra tampil menjawab semua spekulasi yang timbul dan menafikan dakwaan itu kerana sepanjang bergelar pelakon, tidak pernah namanya dihambat kontroversi kerana isu disiplin.

AMYRA ROSLYTunang Amyra, Dazrin juga pernah dikaitkan dengan isu tidak berdisiplin

Melalui laporan Kosmo!, Amyra berkata dia sentiasa berurusan dengan penolong pengarah mengenai call time, malah, sepanjang lapan hari penggambaran drama Baju Raya Yaya, dia tidak pernah lewat ke lokasi.

Saya tidak tahu di mana kesalahan saya apabila dikatakan lewat berkali-kali. Sedangkan setiap kali saya tiba di set penggambaran, pengarah tidak memerlukan saya dalam keadaan tergesa-gesa.

Kenyataan saya sering datang lambat seperti ingin menjatuhkan saya. Jika pelakon senior lambat tidak pula dihebohkan, apabila terkena kepada saya tiba-tiba ia meletup seperti masalah dunia.

Mengulas lanjut, Amyra berkata dia tidak mahu memperbesarkan perkara tersebut kerana menganggap ianya sudah selesai dan menegaskan hubungannya dengan pelakon senior tersebut masih baik.

Sejujurnya saya tidak mahu lagi bercakap tentang hal ini kerana semuanya sudah selesai. Pihak produksi tahu hal yang sebenarnya.

Dalam drama itu, kami bergandingan sebagai adik-beradik dan hubungan saya dengan dia sepanjang penggambaran sangat baik. Sebab itu bila isu ini timbul, saya rasa pelik dan agak terkejut.

Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan Amyra Rosly didakwa lambat datang ke set penggambaran selama tiga hari berturut-turut hingga menyebabkan pelakon senior, Fasha Sandha berang lalu meninggalkan set penggambaran drama Baju Raya Yaya.

Apa-apa pun, nasihat kami agar Amyra mengambil iktibar atas perkara ini dan menganggapnya sebagai asam garam bergelar anak seni.

SKIP THIS AD ×