Raya tahun ini mungkin sedikit berbeza buat pasangan selebriti, Datin Lisa Surihani dan Datuk Yusry apabila mereka memaklumkan bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri di Manchester, England.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Peminat Teruja Dengan ‘Istanbul Aku Datang Reunion’, Rindu Lakonan Lisa Surihani & Beto Kusyairi
Beraya bersama Edry
Yusry memaklumkan bahawa mereka berdua bakal terbang ke Manchester pada hari raya ketiga untuk menyambut keraian itu bersama-sama keluarga adik Yusry, Edry Abdul Halim.
Raya tahun ini lain sedikit, kerana saya nak berehat selepas lama bekerja. Saya nak melawat adik saya, Edry di Manchester. Jadi kami akan ke sana pada hari raya ketiga. Insya Allah kami akan ke sana satu keluarga, saya, Lisa dan anak-anak.
Tambah Yusry, pada asalnya Edry akan pulang beraya di Malaysia pada tahun ini tetapi mereka kemudiannya mencapai kata sepakat untuk beraya bersama-sama di Manchester.
Dia (Edry) sebenarnya baru pulang ke Malaysia dan sepatutnya tahun ini dia nak balik beraya tetapi saya dan Lisa merancang untuk ke sana untuk beraya bersama Edry, jadi dia akan pulang semula ke Malaysia selepas raya.
Bawa lauk raya ke Manchester
Dalam pada itu, ketika ditanya adakah mereka akan membawa juadah Hari Raya apabila bertandang ke Manchester nanti, Lisa mendedahkan bahawa ia bergantung kepada pesanan yang dipesan Edry kepada mereka.
Saya tak tahu lagi tapi kita akan tunggu dan lihat. Kadang-kadang Edry mungkin akan tinggalkan pesan (untuk bawa makanan). Kemungkinan juga Edry dah sediakan beberapa makanan bertemakan raya di sana.
Yusry dan Lisa Surihani ditemui OHBULAN! pada malam gala filem Sumpahan Malam Raya arahan Prof. Madya Datuk’ Dr. A. Razak Mohaideen.
Filem yang turut dibintangi Atu Zero, Nora Danish, Reen Rahim dan Danial Zaini itu bakal menemui penonton di hampi 82 pawagam seluruh negara bermula 22 April ini.