Selepas bertunang pada 28 Mac yang lepas, umum tahu Liyana Jasmay telah berangkat ke New York untuk menjalani kursus selama enam bulan dalam bidang pengarahan dan filem di Akademi Filem New York (NYFA).
Namun sekembalinya ke Malaysia, pelakon berusia 24 tahun ini telah mengumumkan bahawa majlis pernikahannya bersama bakal suami terpaksa ditunda pada 2 Februari 2013. Perkara ini telah menimbulkan tanda tanya kerana dia dan Fathudin Mazlan, 28, sepatutnya mengadakan majlis pernikahan mereka pada 24 Januari 2013.
Menerusi laporan Kosmo! hari ini, Liyana menjelaskan bahawa majlis pernikahan mereka terpaksa ditunda atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
“Saya dan Fathuddin akan bernikah pada 2 Februari tahun depan, akad nikah waktu pagi dan bersanding pada sebelah malam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.”
Walau bagaimanapun, pelakon ini hanya memberitahu tema pakaian yang akan dipakai mereka sahaja nanti dan masih belum membuat sebarang persiapan rapi untuk majlis pernikahannya.
“Saya tidak bincang sebarang tema untuk majlis itu nanti. Saya tidak pandai (tentang) itu semua. Saya dan Fathuddin hanya buat apa yang disukai oleh kami tetapi tema pakaian adalah warna biru tiffany.”
Dalam pada itu, pelakon berbakat besar ini akan muncul dengan filem barunya yang berjudul Papadom 2 dan Tokan pada tahun hadapan.