Berat mata memadang, berat lagi bahu yang memikul. Itu lah ungkapan yang paling sesuai menggambarkan kehidupan seorang ibu tunggal, Puan Rogayah Binti Hasan yang membesarkan 6 orang anak. Menerusi perkongsian Natipah Abu memberitahu bahawa 4 daripada 6 orang anak Puan Rogayah kini sedang sakit.
Kisah ibu tunggal
Sekadar gambar hiasan
Jika dipandang dari luar , rumah itu tiada bezanya dengan rumah kampung yang lain. Namun bila pintu dikuak dan langsir diselak, barulah kita sedar betapa hebatnya dugaan buat si ibu yang menjadi ketua keluarga setelah kematian suami tercinta akibat sakit jantung 16 tahun yang lalu itu. Pemergian suami telah meninggalkan dia dan 6 orang anak. Namun takdir Allah, 4 dari anaknya kini sakit. Hanya anak sulung dan anak ke 5 saja yang sihat. Ketika kita sampai, dia tiada di rumah. Kata Arisa, anak ke 5 yang baru menamatkan pengajian di IPTA itu, ibu baru sahaja keluar. Lalu kita pun memutuskan untuk menunggu. Jangkaan kita barangkali si ibu ke pasar dengan motosikalnya untuk membeli barangan keperluan dapur. Lama menunggu, si ibu pun pulang. Rupanya sejak diumumkan rakyat Malaysia kini dibenarkan merentasi sempadan, si ibu tanpa jemu ke sana-sini mencari kereta sewa untuk membawanya ke Kuala Lumpur.
Tujuannya ke sana ialah untuk membawa pulang anak ke 3, Ani berusia 26 tahun, yang telah melarikan diri ke Kuala Lumpur sejak bermulanya PKP. Wanita malang itu, mempunyai dua orang anak dan telah diceraikan oleh suami sejak bertahun lalu kerana ‘gila meroyan’. Awal Ramadhan, si ibu menerima panggilan telefon dari seseorang di Kuala Lumpur dan memaklumkan tentang Ani yang dijumpai dalam keadaan tidak terurus dan marayau-rayau di sana. Malangnya sehingga hari ini, tiada kereta sewa yang sudi membantu menunaikan hasrat si ibu. Kata mereka, bukan wang ringgit yang menjadi halangan, tetapi keadaan semasa dan si ibu pula tidak mempunyai maklumat lengkap tentang lokasi Ani berada meyebabkan pemilik kereta sewa berfikir panjang.
Anak hidap sakit mental
Nasir merupakan satu-satunya anak lelaki dan anak ke 4 dalam keluarga itu, sudah lama menderita sakit kencing manis kronik. Akibatnya, telah merosakkan buah pinggang dan menggangu fungsi jantung Nasir. Nasir yang punya tiga anak itu, kini tidak lagi mampu bekerja untuk menyara hidup. Mujurlah isterinya pandai mencari rezeki dengan menjual segala macam jualan di atas talian. Nun di dalam bilik di hujung rumah itu kedengaran macam-macam bunyi dan suara dari dalamnya. Bilik itu menempatkan anak 2, Irah berusia 29 tahun yang mengidap sakit mental. Emosi Irah tidak menentu, kadangkala Irah bercakap, menangis atau ketawa. Kadangkala pula Irah juga akan mengamuk dengan merosakkan barang rumah. Mujurlah Irah tidak pernah sampai ke tahap mencederakan sesiapa pun. Oleh kerana Irah suka menanggalkan pakaian yang dipakaikan kepada dia, maka tempat yang selamat untuk Irah ialah di dalam bilik.
Di satu sudut lain rumah pula itu pula, terbaring sekujur tubuh anak bongsunya, Dayah 19 tahun, mengidap cerebral palsy. Anak itu memang tidak mampu bercakap sepatah pun walau untuk memanggil ibu. Biarpun matanya terbuka tetapi dunianya kelam, dia buta. Dayah hanya makan bubur nasi dan minum susu sahaja. Komunakasi Dayah hanyalah tangisan. Mujurlah Dayah masih mampu mengiring sendiri. Tiadalah bedsore di tubuh. Hanya anak sulungnya Ros dan Arisa saja yang sihat. Ros seorang surirumah tetapi beliaulah yang banyak berkorban untuk ibu dan adik-adik walaupun dia sendiri tidaklah sesenang mana pun.
Hulurkan bantuan, ringankan beban
Sekadar gambar hiasan
Arisa pula sedang mencari pekerjaan setelah berjaya menggenggam segulung ijazah. Lebih dari itu , ibu selalu mendoakan yang baik-baik saja buat Arisa. Jauh di sudut hati, dia tidak dapat lari perasaan bimbangnya tentang masa depan Arisa. Paling dibimbanginya andai Arisa juga diserang sakit yang sama dengan kakak dan adiknya. Astagfirullah hal’azim, sejauh itulah kerisauan hati seorang ibu. Sedekah Jumaat kita hari ini, selain bertujuan untuk memenuhi permintaan dan hajat ibu bagi mendapatkan kerusi roda dan katil khas buat Dayah, kita juga ingin membantu urusan membawa pulang Ani ke Kedah.
Anggaran kos untuk kedua kerusi roda dan katil khas ialah RM3K manakala RM2K lagi untuk perbelanjaan dan membantu urusan kepulangan Ani. Kita harap, dapatlah mengumpulkan RM5K untuk ibu ini. Kata ibu yang menerima bantuan JKM ini, beliau sudah lama mengimpikan keperluan khas itu utk memudahkan dia yang sudah berusia 63 tahun itu menguruskan Dayah. Memang ada sebuah kerusi roda yang disedekah orang, tetapi itu kerusi roda biasa yang tidak sesuai untuk Dayah yang tidak boleh duduk dengan sempurna lagi. Semoga dengan sedekah jariah yang kita panjangkan kepada Puan Rogayah binti Hasan, akan meringankan segala urusan dan penanggungannya.
Bantuan ibu tunggal dan anak OKU, sumbangan Maybank Natipah Abu 552107617521
Sumber: Natipah Abu