berita

Mahkamah Putuskan Kematian Muhammad Adib Akibat Serangan Lebih Dua Individu

September 27th, 2019 | by Azizi Rahman
Kini Trending

Negara kita pernah digemparkan dengan tragedi menyayat hati kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang parah dipukul sekumpulan perusuh pada 17 Disember tahun lalu di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya.

Setelah 41 hari berlangsungnya inkues bagi menyiasat kematian Adib, Mahkamah Koroner Shah Alam hari ini akhirnya memutuskan punca kematian anggota bomba itu disebabkan oleh perbuatan pihak ketiga.

Dilakukan oleh dua orang atau lebih

Menerusi laporan Harian Metro, Koroner Rofiah Mohamad memutuskan Adib meninggal disebabkan oleh impak perbuatan jenayah yang dilakukan dua atau lebih individu tidak dikenali.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas berpuas hati dengan keterangan saksi sepanjang prosiding berjalan selain ianya selari dengan keterangan saksi ke-29, Pakar Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid bahawa mangsa dihentak dan diheret keluar dari van bomba pada masa kejadian.

Tambahnya, keterangan beberapa saksi di tempat kejadian juga menunjukkan terdapat perbuatan memukul seseorang di kawasan di mana antara 20 dan 30 orang berkumpul.

Kegagalan polis dan FRU kawal rusuhan

Selain itu dalam keputusan hari ini, Rofiah juga berkata kegagalan polis dan FRU dalam mengawal rusuhan pada hari kejadian turut menyumbang kepada kematian arwah Adib.

Susulan itu katanya, mahkamah menyerahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta peguam negara untuk melakukan siasatan lanjut dan pendakwaan.

Adib yang baru berusia 24 tahun parah ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 27 November 2018 lalu. Bagaimanapun selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Sumber: Harian Metro, Free Malaysia Toda

The following two tabs change content below.

Azizi Rahman

Content Champion at Rev Asia Berhad
Semoga dunia kembali pulih!

SKIP THIS AD ×