Foto: Today’s Parent
Tempoh berpantang merupakan 1 jangka masa penting selepas melahirkan anak. Memang telah menjadi lumrah, selepas bersalin, haruslah melakukan proses pantang sama ada dari sudut makanan, pergerakan mahupun penjagaan fizikal.
Makanan dalam pantang ada banyak, ibu baru lepas bersalin perlu tahu peraturan makanan ketika berpantang ini supaya tidak sakit badan atau tubuh menjadi lesu. Ini antara makanan yang boleh diamalkan untuk wanita selepas bersalin.
Gantikan beras putih dengan beras perang
Foto: Times Of India
Mungkin ramai ibu-ibu yang terfikir untuk diet dan kuruskan badan sebaik sahaja melahirkan bayi. Namun, anda perlu ingat bahawa tubuh anda sedang dalam proses pemulihan dan bayi yang yang menyusu badan juga memerlukan nutrisi yang berkualiti melalui pemakanan anda. Menggantikan beras biasa dengan beras perang adalah antara cara untuk anda berdiet sambil mendapatkan kalori yang baik.
Sumber bijirin berserat tinggi yang ada pada beras perang juga bagus untuk penghadaman anda.
Sarapan pagi roti berserat tinggi
Foto: Breaking Muscle
Selain makan nasi untuk hidangan utama anda semasa berpantang, pengambilan roti berserat tinggi untuk sarapan juga boleh diamalkan kerana ia mengandungi asid folik yang penting untuk kesihatan tubuh badan anda dan bayi. Ia juga mengandungi lebih khasiat daripada roti putih dan biskut kering.
Makanan berprotein tinggi
Foto: Men’s Health
Makan berprotein tinggi seperti ikan tenggiri, salmon dan tuna. Komponen protein dalam sajian seharian penting dalam memastikan anda kekal bertenaga sepanjang hari. Bukan mudah nak menjaga bayi dan menguruskan diri, tambahan pula jika kita berpantang sendiri.
Pengambilan ikan salmon bukan sahaja berkhasiat tetapi turut terbukti dapat mengelak risiko kemurungan selepas bersalin. Selain itu, ikan tenggiri dan tuna juga antara pilihan yang bagus sebagai lauk dalam makanan berpantang kerana ia dapat memperbaiki fungsi otak dan membina sistem saraf bayi.
Makan buah-buahan dan sayuran hijau
Foto: Discover Magazine
Buah-buahan dengan warna yang terang seperti anggur, betik, oren dan pisang sangat berkhasiat untuk ibu yang sedang berpantang. Mungkin ada yang menganggap makanan sebegini tidak sesuai kerana ia bersifat ‘sejuk’, tetapi semua buah-buahan ini sebenarnya mengandungi serat dan sumber vitamin yang tinggi. Dinasihatkan supaya mengambil sekurang-kurangnya 2 hidangan buah-buahan setiap hari.
Seperti buah-buahan, sayuran hijau seperti sawi, bayam, kucai serta ulam-ulaman juga patut diamalkan dalam pemakanan harian anda. Ia bukan sahaja mempunyai antioksidan yang tinggi, vitamin, mineral, tetapi ia juga memiliki sumber kalsium yang penting untuk tubuh.
Kacang atau kuaci sebagai snek
Foto: Healthline
Kalau anda teringin nak makan snek, pilihlah daripada sumber yang sihat seperti kacang badam, walnut, kuaci atau pistachio. Semua jenis kekacang sihat seperti ini dapat membantu menstabilkan paras glukos dalam darah serta seimbangkan tindak balas dalam tubuh. Ia juga dapat meningkatkan kadar metabolism serta fungsi tubuh dan otak.
Sumber: Pantang Plus, Nestle.