Pelawak terkenal, Mazlan Ahmad atau Lan Pet Pet didenda RM2000 oleh Mahkamah Majistret Seremban selepas mengaku salah memukul pengawal keselamatan 6 April lalu. Menurut laporan Berita Harian, Lan berhasrat untuk berjumpa Yahya Manap untuk memohon maaf atas kejadian yang berlaku.
‘Saya mohon maaf’
Anggota Senario ini memberitahu dengan rendah diri memohon maaf kepada Yahya dan keluarga serta sanggup menerima apa sahaja reaksi pengawal keselamatan itu.
Saya ikhlas dan sanggup berhadapan apa sahaja… Saya silap dan bodoh ketika itu.
Saya sanggup berhadapan Yahya dan keluarganya. Apa yang lebih penting, saya dapat bertemu, meleraikan kekusutan dan memohon maaf.
Selebihnya terserahlah kepada Yahya… Saya terima dengan hati terbuka.
Tambahnya lagi, dia menghormati Yahya seperti bapanya sendiri dan buat masa ini dia belum lagi bersedia untuk berkongsi perkara yang berlaku. Lan juga memerlukan masa untuk bertenang.
‘Makilah.. hamunlah’
Saya tidak sengaja bertindak sedemikian. Saya hanya manusia biasa, tidak lepas daripada melakukan kesilapan.
Bagaimanapun, salah faham yang berlaku membuatkan saya tidak sengaja bertindak di luar batasan.
Apa yang berlaku, biarlah saya simpan dalam hati. Saya belum bersedia mahu berkongsi, berikan saya tempoh untuk bertenang dahulu.
Ketika ini, fikiran saya serabut, banyak urusan yang kena selesaikan… Saya perlukan masa.
Saya berjanji kesilapan yang sama tidak akan berulang dalam hidup saya. Makilah, hamunlah… Saya terima dengan reda.
Saya mohon maaf dengan hati yang ikhlas.
Berjanji untuk menyelesaikan isu dengan segera. Keluarga dan rakan rapat turut menasihati pelawak tersebut agar bersemuka dan memohon maaf kepada Yahya.
Sumber : Berita Harian