Tindakan seorang guru memuat naik jawapan naif murid ketika ditanya soalan mengundang kecaman ramai. Menerusi video viral itu, guru tersebut bertanyakan murid di dalam kelas, bapa siapa yang memasak? Seorang murid mengangkat tangan lalu menjawab bapanya memasak air ketum.
Pengguna Facebook, Akhi Fairuz Al-Jengkawi meluahkan rasa tidak senang dengan perbuatan tersebut. Beliau berpendapat, seorang guru harus bersikap profesional.
Guru sepatutnya jadi contoh
Ada followers share pada saya video ini. Cikgu ini bertanya, siapa di sini ayah masak di rumah. Maka, gadis kecil ini angkatlah tangan dan menjawab,
“Ayah saya masak ketum.”
Guru berkenaan menahan tawa. Murid lain di dalam kelas gelak besar. Sedih saya.
Bukan sedih dengan jawapan kanak-kanak itu, tapi sedih mengenangkan sikap guru berkenaan yang merakam video hingga ia tersebar di media sosial. Ini satu bentuk pembulian!
Mana etika anda sebagai seorang guru? Tak fikir ke kesan jangka pendek dan panjang kepada anak ini? Kawan budak ini akan mengata. Ejek setiap hari. Pembulian berlaku, lagi dan lagi. Netizen lagilah, macam-macam komen dah ada.
Fikirlah panjang sikit. Anda seorang guru yang sepatutnya menjadi contoh kepada anak murid! Saya harap pihak Kementerian Pendidikan ambil tindakan.
Akhi Fairuz Al-Jengkawi,
Saya yakin majoriti cikgu yang lain tak bersetuju, sedih dan marah akan isu ini. Jangan kerana tindakan guru ini, habis dikecam cikgu yang lain.
#TukangCeramahBudakSekolah
#SexEdSpeaker
Kesian anak kecil itu
Di ruangan komen rata-rata turut kecewa melihat perbuatan seorang guru yang dianggap tidak beretika. Menurut mereka, seorang guru tidak sepatutnya menyebarkan aib murid terutamanya di media sosial.
Sumber : Akhi Fairuz Al-Jengkawi