‘Jejaka Idaman’ adalah lagu popular yang pernah di nyanyikan oleh penyanyi pop, Raja Ema pada tahun 1986. Diolah semula oleh Lynnzay A. dengan versi yang lebih urban sesuai dengan citarasa generasi muda masa kini yang gemarkan lagu berentak ‘pop dance’ dan ‘dubstep’.
Lynnzay A. ataupun Lynnzay Affandy adalah bekas ahli kumpulan di bawah syarikat pengurusan Reshmonu yang digelar ‘Senoritas’. Kumpulan tersebut sudah pun berpecah beberapa bulan lepas. Lynnzay menyambung kerjayanya sebagai wartawan untuk surat khabar politik dan terus bergerak maju bagi menghasilkan single pertamanya dan ingin memperkenalkan ‘style’ sebenar muziknya ke mata Malaysia.
Lagu ini adalah tulisan asal daripada komposer terkenal, Fauzi Marzuki. Untuk versi saduran semula, lagu ini telah ditambah lirik dan melodi baru oleh Amylea Azizan, bekas finalis Akademi Fantasia. Amylea telah berjaya menghasilkan lirik yang sedikit puitis tetapi sesuai dengan rentak dan irama baru. Manakala susunan muziknya pula dihasilkan oleh nama yang tidak asing lagi dalam dunia urban, iaitu DJ Fuzz.
Lynnzay A. telah memilih Juzzthin sebagai rapper yang menyanyi di bahagian chorus lagu ini. Juzzthin lebih dikenali sebagai salah seorang pelakon utama di dalam drama bersiri kegemaran remaja iaitu ‘Projek Pop’ yang di tayangkan di TV8 dan juga ‘Waktu Rehat’ untuk tayangan Disney Malaysia di Astro. Berpengalaman sebagai rapper, Juzzthin diberikan kepercayaan untuk menulis sendiri liriknya.
Maka, terhasillah versi baru lagu ini yang diberi tajuk ‘JEJAKA IDAMAN 2.0’ bersama penghasilan muzik video yang bakal diriliskan juga tidak lama lagi.