Baru-baru ini, beberapa orang artis meluahkan rasa bengang apabila segelintir pihak produksi masih mengamalkan jadual penggambaran tidak menentu hingga pelakon dan kru ‘lunyai’ akibat bekerja lebih masa.
Artikel berkaitan: ‘Kalau Nak Lajak 14 Jam Masih Boleh Terima, Tapi Bukan Hari-Hari S*B*T’ – Sharnaaz Ahmad Berang Produksi ‘Lenjan’ Kerja 20 Jam
Terbaru, pengarah terkenal iaitu Aziz M Osman menganggap isu ‘melenjan’ pekerja produksi sehingga 20 jam amat memalukan terutama apabila masalah itu dikongsikan di media sosial.
Perlu diselesaikan secara dalaman
Menurut Aziz, masalah ‘rumah tangga’ yang berlaku dalam industri seni tanah air wajar diselesaikan secara kekeluargaan, bukan didedahkan kepada umum sehingga mengaibkan pihak terbabit.
Masalah ‘rumah tangga’ kita perlu diselesaikan secara dalaman bukan diceritakan pada orang luar. Apabila orang luar tahu hal macam ini, ia jadi amat memalukan. Sampai ada persatuan yang menulis surat kepada menteri untuk pecat orang itu orang ini dan ia sangat tidak beretika sebab ini ‘rumah tangga’ kita. Ia sekali gus memalukan kami sebagai penggiat industri.
Tambah Aziz, masalah tersebut dapat diselesaikan secara baik sekiranya semua pihak terbabit berkumpul di meja rundingan.
Dalam sesebuah produksi ada penerbit dan pengurus produksi dan jika ada arahan daripada pengarah untuk bekerja sehingga 48 jam sekalipun, ia boleh dibincangkan sesama sendiri. Kalau kita bersepakat, isu macam ini boleh diselesaikan secara muafakat.
Sehingga 12 jam sahaja
Selain Aziz M Osman, penyanyi, pelakon dan pengarah Datuk Yusry Abd Halim menjelaskan dia mengehadkan waktu bekerja di lokasi penggambarannya sehingga 12 jam sahaja. Yusry berkata, pihak produksi perlu bertolak ansur dan berbincang dengan pelakon jika mahu mereka bekerja lebih masa pada hari tertentu.
Ujar Yusry lagi, kerja melebihi 20 jam itu agak melampau kerana kalau jika buat hari-hari (penggambaran) pelakon akan ‘pancit’. Bagaimanapun, Yusry tidak menafikan sesekali dia juga terlajak, tetapi mereka berbincang secara baik untuk menyelesaikannya.
Sumber: Harian Metro