Pada Jun lalu, pelakon Jasmin Hamid dimasukkan ke Unit Penjagaan Koronari (CCU) di Hospital Sungai Buloh kerana mengalami serangan jantung buat kali pertama.
Artikel Berkaitan: Keadaan Kesihatan Semakin Pulih, Jasmin Hamid Boleh Keluar Hospital
Boleh kerja macam biasa
Selepas dua bulan, Jasmin menyatakan keadaan kesihatan dirinya makin pulih dan sudah kembali aktif berlakon.
Kata Jasmin, 48, dia bakal menjalani rawatan susulan dengan pakar perubatan pada Februari tahun depan.
Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang mana tahap kesihatan saya buat masa ini, baik-baik saja. Insya Allah, saya juga masih boleh bekerja macam biasa walaupun pernah mengalami serangan jantung sebelum ini.
Malah, saya akan menjalani pemeriksaan dengan doktor pakar pada Februari tahun depan. Apapun, sekarang ini saya memang sihat dan boleh berlakon lagi.
Jasmin berkata demikian ketika ditemui pada sidang media secara virtual drama Anak Beranak Abang Yie, pada Isnin.
Kena rehat cukup
Tambah pemilik nama Jasmin Abdul Hamid, dia akan mendapatkan rehat sekiranya berasa kurang sihat.
Kalau rasa kurang sihat dan memang rasa tak boleh bekerja, saya akan berehat secukupnya. Apapun, paling utama adalah menjaga rutin pemakanan yang lebih sihat setiap hari.
Sementara itu, bercakap mengenai drama Anak Beranak Abang Yie, Jasmin berkata drama itu mengisahkan ragam sebuah keluarga ketika berhadapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19.
Mula bersiaran jam 6 petang di slot Sakura dari Isnin hingga Khamis, drama Anak Beranak Abang Yie turut dibintangi oleh Azlee Senario sebagai Abe Yie, Aiman Tino, Puteri Sarah, Wan Sharmila, Aidit Noh dan Aidil Aziz.
Sumber: Instagram @jasminhamidjh