berita

Masih Dalam Tempoh Percubaan, Jambatan Angkat Belum Siap Sepenuhnya

June 2nd, 2019 | by Amat
Kini Trending

Jambatan Angkat, Terengganu pagi ini menyaksikan ramai pengunjung tidak melepaskan peluang untuk menjadi ‘orang pertama’ merasai jambatan tersebut. Malah, ada segelintir dari mereka sanggup untuk tidak tidur dan bangun awal semata-mata bagi merasai pengalaman di situ.

Menerusi laporan Metro, Wan Amir Asyraf Wan Azman kongsi pengalaman sebagai ‘orang pertama’ menjejak kaki dan menggunakan jambatan tersebut awal Subuh tadi.

Tak tidur untuk menjadi orang pertama

Pastinya ramai tidak melepaskan peluang apabila Kerajaan Negeri Terengganu mengumumkan Jambatan Angkat akan dibuka untuk tempoh percubaan. Malah, ramai yang ingin merasai dan menggunakan Jambatan Angkat tersebut sebagai jambatan pertama di Asia Tenggara dan terpanjang di dunia.

Menurut Wan Amir Asyraf berkata pembukaan jambatan tersebut adalah dinanti-nanti oleh rakyat Terengganu.

Sejak malam tadi saya tak tidur semata-mata untuk menjadi orang pertama menggunakan jambatan yang menjadi kebanggaan rakyat Terengganu ini. Saya sampai di sini 6.15 pagi dan nasib saya baik kerana menjadi yang pertama tiba di laluan menghala ke Seberang Takir.

Pengujian prestasi jalan

Pastinya orang ramai terutama rakyat Terengganu tidak melepaskan peluang menggunakan laluan tersebut sama ada dari Seberang Takir ke Kuala Terengganu atau sebaliknya. Sempena hari pertama pembukaan, dilaporkan lebih 100 kenderaan berada kedua-dua hala seawal 7 pagi tadi.

Dinasihatkan kepaa orang ramai supaya tidak bersiar-siar atau berjalan kaki di atas jambatan kerana jambatan berkenaan masih dianggap sebagai kawasan pembinaan.

Pembukaan sementara jambatan itu adalah untuk pentauliahan dan pengujian prestasi jalan dari sudut koordinasi sistem ‘signalling’ jalan di jambatan dengan sistem trafik di kawasan sekitar dan koordinasi sistem penyuraian trafik.

Tambahan, sepanjang tempoh percubaan ini hanya kenderaan sahaja yang dibenarkan melalui jambatan itu dan orang ramai dilarang berada di atas jambatan berkenaan untuk merakam gambar atau sebagainya.

Tarikh rasmi pada Julai

Bagaimanapun, tarikh tamat pengujian sistem pada 17 Jun dan jambatan itu akan ditutup semula kepada laluan trafik bagi pentauliahan komponen lain. Tarikh pembukaan rasmi Jambatan Angkat dijangka pada Julai nanti.

Jambatan yang menggunakan teknologi hidraulik bascule termaju itu turut mempunyai nilai estetika yang tinggi apabila menggabungkan unsur budaya dan warisan masyarakat Terengganu. Bascule berfungsi untuk menggerakan jambatan itu adalah yang terpanjang di dunia dengan jarak 76 meter bagi membolehkan kapal melaluinya.

Baiki aliran trafik di Kuala Terengganu

Berketinggian 12.5 meter dari aras laut, jambatan sepanjang 638 meter yang menghubungkan muara selatan di pusat bandar Kuala Terengganu (Tanjung) dan muara utara di Seberang Takir dan disokong dua menara setinggi 15 tingkat di bahagian kiri dan kanan. Lebih hebat lagi jambatan itu boleh diangkat di bahagian tengah untuk laluan kapal.

Jambatan Angkat berkenaan adalah bertujuan memperbaiki aliran trafik di Kuala Terengganu dan menjadi laluan alternatif dengan memendekkan masa perjalanan sekurangnya 15 minit dari Kuala Terengganu ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

Sudah pasti Jambatan Angkat menjadi salah satu tarikan pelancong terbaru di Malaysia dengan penyediaan kemudahan seperti ruang solat, bilik air dan tempat penyediaan makanan di tingkat 13 manakala tingkat 14 pula terdapat satu restoran mewah.

Sumber: Metro

SKIP THIS AD ×