Insiden serangan tembakan yang berlaku di Christchurch dua bulan yang lalu, ternyata meninggalkan kesan yang mendalam buat seluruh masyarakat di dunia. Peristiwa yang telah meragut banyak nyawa yang tidak berdosa itu membuatkan ada dalam kalangan mereka masih trauma untuk mengunjungi tempat tersebut.
Menerusi laporan Stuff, sepanjang tempoh bulan Ramadan ini, dua orang pegawai polis bersenjata akan mengawasi pintu masjid di sekitar Christchurh dan kamera keselamatan turut dipasang di kawasan masjid, bagi memastikan umat Islam selesa beribadat.
Harap masjid penuh
Menurut Imam Abdul Lateef, Masjid Linwood, Christchurch telah di cat semula selepas peristiwa tersebut berlaku. Permaidani dan jubin yang baru turut dipasang. Walaupun beberapa orang individu masih lagi trauma dan takut untuk datang ke masjid, sebagai imam, dia masih lagi berharap rumah Allah itu akan dipenuhi orang setiap malam Ramadan.
Luka sangat dalam, tetapi kita tidak boleh membiarkan kejahatan mengambil semua kebaikan. Kita sebagai masyarakat kena kuat setiap hari.
Kami ingin memberi ketenangan semula buat mereka yang trauma. Terutama kepada mereka yang kehilangan orang yang disayangi.
Tempat jemaah berkumpul bersama
Menurut Lateef, masjid merupakan tempat semua umat Islam berkumpul selain mendirikan solat. Mereka akan berbuka puasa bersama-sama setiap hari. Tambahnya, cinta dan sokongan antara umat Islam di sana, bakal membuatkan Ramadan kali ini sama seperti tradisi sebelumnya.
Aktiviti keagamaan seperti kelas fardhu ain, bersolat dan menjemput tetamu bukan Islam menyarungkan tudung sebelum melawat masjid tetap berjalan lancar seperti biasa.
Sumber: Stuff