Umat Islam di negeri Selangor perlu hadir ke masjid atau surau bagi mendengar ceramah dan kuliah, kerana alat pembesar suara bahagian luar tidak dibenarkan diguna bagi tujuan tersebut, sejak 2017 lagi.
Artikel Berkaitan: Lelaki Mengamuk, Rampas Mikrofon Penceramah Dakwa Kuliah Subuh Terlalu Bising
Pembesar suara untuk azan & bacaan al-Quran
Menurut arahan yang dikeluarkan pada 23 Oktober 2017, kegunaan pembesar suara telah dihadkan kepada laungan azan dan bacaan ayat Al-Quran dalam tempoh singkat sebelum masuk waktu solat sahaja.
Dalam satu kenyataan, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, larangan itu selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 16 Oktober 2017.
Sultan Selangor dengan jelas menitahkan bahawa penggunaan pembesar suara untuk ceramah dan kuliah hendaklah dihadkan di dalam ruang atau dewan masjid dan surau sahaja.
Pembesar suara luar hanya boleh digunakan bagi tujuan azan dan bacaan ayat-ayat Al-Quran bagi tempoh pendek sebelum azan dilaungkan.
Tambah Shahzihan, baginda memutuskan demikian agar kemuliaan Islam sebagai cara hidup yang sempurna, dinamik dan sentiasa mementingkan kesejahteraan masyarakat seluruhnya dapat dirasai semua pihak, seterusnya menjadi contoh teladan yang baik.
Justeru itu, siasatan lanjut telah dibuat berhubung isu seorang lelaki mengamuk di sebuah surau di Ampang Campuran angkara membuka pembesar suara luar semasa program kuliah subuh.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 12 (a) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor No.9 Tahun 1995 kerana disyaki berlakunya satu perbuatan melanggar titah Sultan Selangor sebagai ketua agama Islam di negeri Selangor.
Terdahulu, seorang lelaki ditahan kerana merampas mikrofon ketika seorang penceramah jemputan sedang memberikan kuliah sambil mendakwa bunyi pembesar suara surau itu menganggunya.
Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor