Di Pulau Pinang, mayat dipercayai seorang warga Bangladesh ditemui di dalam sebuah longkang yang bertutup simen. Mangsa tersebut dipercayai hilang sejak seminggu lalu sebelum ditemui mati di dalam longkang berhampiran sebuah kilang di Taman Perindustrian Beringin, Juru.
Mayat reput ditemui
Memetik laporan yang dikongsikan menerusi Penang Kini, mayat ditemui dalam keadaan reput dan dipercayai disembunyikan oleh rakan di dalam longkang tersebut. Difahamkan mangsa bernama Mohammad Rajib Mia berusia 29 tahun yang bekerja di kilang berkenaan hilang pada 15 Januari lalu namun tiada laporan polis dibuat.
Terkini menerusi laporan Harian Metro, mayat itu ditemui oleh pengurus jualan kilang berkenaan pada jam 1.30 tengah hari tadi selepas ternampak ulat serta terhidu bau busuk dari longkang.
Bunuh rakan dengan besi
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah iaitu Asisten Komisioner Shafee Abd Samad memaklumkan pengurus jualan kilang itu segera menghubungi pihak polis selepas ternampak keadaan yang mencurigakan itu.
Mayat ditemui dalam keadaan mereput dan disembunyikan di dalam longkang serta ditutup dengan penutup longkang jenis simen. Terdapat sebilah pisau, tukul besi dan sebatang besi dengan terdapat kesan darah ditemui pada jarak kira-kira dua meter dari mayat.
Penilaian awal patologi mendapati ada kecederaan pada kepala mangsa disebabkan dipukul dengan objek tumpul selain terdapat kesan darah di tingkat atas premis yang dijadikan pejabat dan penginapan pekerja.
Susulan itu, pihak polis dimaklumkan kilang tersebut mempunyai dua pekerja warga asing termasuk mangsa. Pihak polis menahan seorang pekerja warga Bangladesh berusia 21 tahun dan mendapati dia mengakui membunuh rakannya itu secara berseorangan dengan menggunakan sebatang besi.
Sumber: Penang Kini, Harian Metro