Polis mengesahkan Menteri Besar Kedah iaitu Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah ditahan awal pagi Selasa untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah mengikut Akta Hasutan.
Artikel Berkaitan: Sanusi Kecam Pengundi Tuntut Duit Balik Mengundi, Ini Respon Azhar Sulaiman
Akta Hasutan
Memetik Harian Metro, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, pada 2.30 pagi Selasa pasukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 dan Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman membuat serbuan di Mon’t Kiara dan menahan Menteri Besar Kedah itu.
Menurut Razarudin Husain, pihak peguam yang mewakili Muhammad Sanusi sudah sedia maklum bahawa beliau akan didakwa pada hari sama dan tiada sebarang rampasan dilakukan setakat ini.
Tangkapan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Gombak untuk tindakan selanjutnya.
Kertas siasatan dihantar ke Pejabat Peguam Negara pada 10 pagi semalam.
Razarudin Husain berkata lagi, Muhammad Sanusi akan menghadapi dua pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 [Akta 15] diarahkan kerana perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja (Yang Dipertuan Agong dan Sultan Selangor).
Jika sabit kesalahan, beliau boleh denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Difahamkan Muhammad Sanusi akan didakwa di dua mahkamah sesyen berbeza di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin dan Osman Affendi Mohd Shalleh serta pendakwaan terhadapnya ditetapkan untuk didengar pada jam 9 pagi.
Terdahulu, dalam ucapannya yang tular, pemimpin Pas itu dikatakan menyentuh mengenai perkenan Sultan Selangor, berkaitan pelantikan Menteri Besar Selangor.
Susulan itu, pelbagai pihak membuat laporan polis termasuk yang menyifatkan menghina institusi beraja di Selangor.
Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan terhadap Muhammad Sanusi berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja), dalam ceramah politiknya baru-baru ini.
Sumber: Harian Metro