Media Prima Digital dan anak syarikat, Rev Asia Holding Sdn Bhd, mengumumkan telah melancarkan nama baharu yang dikenali sebagai REV Media Group.
Penjenamaan semula ini adalah sebahagian daripada inisiatif untuk memperkasakan fungsi dan proses perniagaan. Dilaporkan kumpulan ini akan beroperasi sepenuhnya di Sri Pentas, Bandar Utama.
Detik bersejarah
Ketua Pegawai Eksekutif REV Media Group, Rafiq Razali berkata, ini merupakan detik bersejarah buat kumpulan itu kerana dua organisasi media digital utama secara rasminya telah bersatu.
Saya yakin dan percaya bahawa jenama baru ini akan mendorong kami untuk pergi lebih jauh dan membantu mengukuhkan kedudukan kami sebagai penerbit digital terbaik di Malaysia.
Pengarah Operasi Perniagaan, Sam Wee pula, meluahkan rasa teruja kini dapat bekerjasama dengan semua orang di REV Media Group. Beliau yakin transformasi ini akan menjadikan kumpulan ini lebih baik sebagai satu pasukan kerana berkongsi satu visi dan matlamat yang sama.
Untuk menjadi Syarikat Digital Media Malaysia #1
Memperoleh REV Asia Holdings pada tahun 2017, Media Prima Digital memberi tumpuan kepada pengembangan kandungan digital dan platform media digital. Ini bagi mengukuhkan lagi kedudukan Media Prima sebagai penerbit digital terkemuka di Malaysia.
Visi dan misi baharu REV Media Group adalah untuk menjadi Syarikat Digital Media Malaysia #1 dari segi jangkauan, pengekalan & pendapatan dan untuk mencapai matlamat berteraskan keutamaan kepada pelanggan secara kolaboratif dan telus. Dengan penjenamaan baharu ini diharapkan dapat memberi lebih kejelasan dan sinergi yang baik agar dapat terus memberikan penyelesaian terbaik kepada para pelanggannya.
Lebih 30 jenama
Kumpulan ini mewakili lebih 30 jenama terbaik merangkumi pelbagai bahasa dan platform seperti SAYS, OHBULAN!, Viralcham, NST Online, My Metro, BH Online, Mashable SEA dan IGN SEA. Rangkaiannya yang luas menjangkau lebih 15 juta orang setiap bulan, sekitar 75% dari jumlah keseluruhan populasi internet di Malaysia.
Untuk lebih berita menarik dan maklumat lanjut mengenai REV Media Group, sila log masuk ke www.revmedia.my.