berita

Media Prima Hasilkan Lagu ‘Perwira’ Sempena Kempen Tabung Pahlawan 2020

August 29th, 2020 | by AnisAffandi
Shout Out!

Media Prima Berhad berkolaborasi dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) telah melancarkan Kempen Tabung Pahlawan 2020 menerusi siaran langsung program Malaysia Hari Ini di Sri Pentas, Bandar Utama.

Program ini dilancarkan oleh YABhg. Puan Sri Datin Paduka Hajah Noorainee binti Haji Abdul Rahman selaku Penaung Kempen Tabung Pahlawan.

Rakaman kurang dari empat jam

Selari dengan Kempen Tabung Pahlawan ini, Media Prima Berhad menerusi Primeworks Studios Sdn Bhd telah menyumbangkan sebuah lagu istimewa buat semua perwira negara yang dinyanyikan oleh penyanyi bersuara soprana terkenal negara Ning Baizura. Lagu ciptaan Aubrey Suwito dan Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios Sdn Bhd, Datuk Ahmad Izham Omar ini diberi tajuk ‘Perwira’.

Bermula 17 Julai lepas, lagu ‘Perwira’ ini boleh didengari di semua pelantar digital termasuk Spotify, Joox, Apple Music, KKBox, Deezer dan Youtube manakala muzik video boleh ditonton bermula 25 Ogos 2020. Proses rakaman lagu ini hanya mengambil masa kurang dari empat jam dan dilakukan pada penghujung Jun lepas di studio Cranky Music milik pencipta lagu ini sendiri, Aubrey Suwito.

Inspirasi dari kisah benar

Muzik video ‘Perwira’ ini diinspirasikan dari kisah benar sebuah kejadian pertempuran di Somalia di mana lebih dikenali sebagai ‘Black Hawk Down’ yang berlaku pada tahun 1993. Ianya mengisahkan tentang Allahyarham Koperal Mat Aznan Awang dari Batalion 19 Rejimen Askar Melayu Diraja Malaysia (RAMD) Mekanis yang mengendalikan kereta perisai RPZ Condor yang telah ditembak.

Beliau berada dalam misi menyelamat 70 anggota US Rangers dan lima anggota Tentera Udara Amerika Syarikat yang dikepung militia Somalia di Pasar Bakara. Bagaimanapun tujuh anggota turut cedera dalam kejadian tembak itu. Allahyarham telah dikurniakan pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P).

Darah tentera turut mengalir dalam badan anak perempuan beliau iaitu Staf Sarjan Noor Azlinda Mat Aznan yang turut menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan bertugas sebagai Jurulatih Pendidikan Kanan di pasukan Batalion ke-19 Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) Mekanis, Kem Lapangan Terbang Sg. Petani, Kedah.

SKIP THIS AD ×