berita

Media Prima Kekal Prestasi Kukuh, Catat Kenaikan Keuntungan 26% Suku Pertama 2022

May 31st, 2022 | by Hariz
Shout Out!

Media Prima Berhad, kumpulan media bersepadu yang terkemuka dan terbesar di Malaysia telah mencatatkan keuntungan suku pertama mereka untuk tahun 2022, yang berakhir pada 31 Mac 2022 (1QFY22).

Untung selepas cukai RM5.2 juta

Media Prima Berhad telah berjaya mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM5.2 juta pada 1QFY22, peningkatan sebanyak 26% dari RM4.2 juta dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya, 1QFY21.

Menerusi satu kenyataan, kumpulan tersebut masih mengekalkan perolehan dengan penurunan kecil sebanyak 3% iaitu RM247.5 juta pada 1QFY22, berbanding RM254.5 juta pada 1QFY21.

Perolehan tersebut dibantu dengan peningkatan sebanyak 14% dari perolehan pengiklanan, mencatatkan RM174.4 juta bagi tempoh tinjauan berbanding dengan RM152.3 juta pada 1QFY21.

Perkhidmatan pengiklanan kumpulan itu dipacu oleh Media Prima Omnia, dengan strategi bersepadu yang memanfaatkan jenama-jenama popular Media Prima dan capaian yang tinggi, yang merentas pelbagai platform media.

Perolehan pengiklanan dari keseluruhan segmen perniagaan Kumpulan bertambah baik hasil sumbangan yang tinggi dari perniagaan penyiaran.

Perolehan jualan kandungan juga meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh tinjauan selama tiga bulan, berikutan kenaikan permintaan untuk lebih banyak kandungan tempatan daripada perkhidmatan penstriman yang sedia ada atau baru.

REV dinobat Penerbit Digital Terbaik

Segmen digital Media Prima Berhad, REV Media Group (RMG) yang sekali lagi dinobatkan penerbit digital terbaik untuk tahun 2021, mencatatkan kenaikan perolehan sebanyak 22% iaitu RM23.5 juta dalam 1QFY22 berbanding suku yang sama pada tahun sebelumnya.

Media Prima kekal menjadi penerbit digital yang terkemuka, dengan kejayaan pencapaian RMG melebihi 15.8 juta rakyat Malaysia setiap bulan. Baru-baru ini, RMG juga telah dinobatkan sebagai Penerbit Digital Terbaik pada tahun ini untuk kali ketiga di Malaysian Digital Association d Awards 2022.

Media Prima kekal optimistik

Pengarah Urusan Kumpulan, Rafiq Razali (kiri) & Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid (kanan)

Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid, Pengerusi Kumpulan Media Prima, berkata, mereka amat berpuas hati dengan pencapaian kumpulan bagi 1QFY22. Menurutnya, pencapaian tersebut telah disokong oleh hasil sumbangan perolehan pengiklanan yang amat tinggi merentas semua segmen perniagaan.

Semua ini memberikan kita keyakinan bahawa kita sedang berada di posisi yang lebih kuat untuk memberi lebih banyak lagi sebagai syarikat media bersepadu. Tanpa keadaan yang tidak dijangka, kita kekal optimistik untuk prestasi pada suku-suku yang akan datang.

Rafiq Razali, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, berkata, Media Prima Berhad melangkah ke tahun 2022 dengan mencatatkan keuntungan walaupun tempoh tinjauan ini merupakan tempoh yang mencabar dari aspek kewangan.

Ini membuktikan bahawa Kumpulan akan kekal berdaya tahan walaupun dengan landskap media yang sering berubah dengan pantas. Namun begitu, dengan peningkatan cabaran dan persaingan akan terus berkembang, kita akan terus menyesuaikan dan melakukan pembaharuan untuk memastikan Media Prima dapat memberikan yang terbaik kepada pengiklan, dan kepada 98% isi rumah rakyat Malaysia yang kita santuni.

Melangkah ke hadapan, matlamat kami adalah untuk mewujudkan lebih banyak sinergi di seluruh perniagaan kami untuk menampilkan nilai kami sebagai kumpulan media bersepadu terkemuka di Malaysia.

SKIP THIS AD ×