Pelakon Meerqeen akui ada berlaku perselisihan faham dengan seorang pelakon ketika menjalani penggambaran filem Harimau Malaya: The Untold Journey.
Artikel berkaitan: [VIDEO] Nama Dipetik Sarah Yasmine, Meerqeen Pilih Sibuk Dengan Lakonan – ‘Saya Tiada Apa Nak Komen’
Artikel berkaitan: [VIDEO] Meerqeen Tak Melatah Jawab Pasal Sarah Yasmine, Sekadar Kenal Sebagai Peminat – ‘Dia Bukan Kawan’
Berlaku sedikit pergaduhan
Merqeen bagaimanapun memberitahu hanya berlaku pertengkaran mulut sahaja dan tiada insiden tumbuk menumbuk yang terjadi.
Filem ini agak berat kerana ia sarat dengan emosi. Penggambaran juga dijalankan daripada pagi hingga pagi.
Jujurnya, selain cedera bahagian buku lali pada hari terakhir penggambaran, saya juga bertegang urat dengan pelakon yang menjayakan watak pemain bola sepak dalam filem ini.
Filem ini mengumpulkan 22 lelaki dan semuanya ada ego masing-masing. Nak dijadikan cerita, kami menjalankan penggambaran babak latihan atas padang dan tekanan sudah mula ada berikutan cuaca terlalu panas.
Lebih tertekan, kami perlu melakukan babak berulang kali. Jadi, timbulkan sedikit pergaduhan, namun tidaklah sampai bertumbuk, hanya bergaduh mulut sahaja.
Saya tahu kami semua penat. Mana tidaknya, kami jalani penggambaran di padang itu selama lebih seminggu, dari pagi hingga pagi. Namun, semuanya berakhir dengan baik.
Tetap berkawan baik
Meskipun pertengkaran memberi tekanan terhadap lakonan, Meerqeen berkata, mereka tetap baik dan berkawan sehingga sekarang.
Kadang-kadang kita lupa bahawa ini hanyalah lakonan dan satu karya yang sedang lakukan, jadi tak perlulah terlalu mengambil serius.
Alhamdulillah, semua pelakon pun faham situasi ini. Kami manusia, ada masa rasa kurang, tapi akhirnya kami berkawan seperti biasa. Kita pun lelaki, tak mahu gaduh lama-lama.
Mengulas lanjut tentang filem pertama dan bekerja di bawah pengarahan Datuk Afdlin Shauki, dia sangat berterima kasih diberikan peluang tersebut.
Saya sukakan sukan. Sejak dulu sampai sekarang, saya memang aktif dalam sukan balapan, olahraga, ragbi dan pelbagai lagi. Jadi, apabila diberikan watak ini pastinya saya teruja.
Jujurnya, saya takut filem ini tidak melepasi harapan ramai. Saya tak boleh nak berikan 100 peratus yang orang ramai mahukan sebab saya hanyalah pelakon, bukan pemain bola sepak.
Saya boleh bermain bola sepak, tapi untuk memenuhi keinginan orang lain, tak mungkin boleh. Jadi, saya harap penonton boleh faham apa yang kami kerjakan dan mesej filem ini.
Filem Harimau Malaya: The Untold Journey mengisahkan kebangkitan semula Harimau Malaya selepas kemerosotan yang membawa kepada peletakan jawatan jurulatih Tan Cheng Hoe pada Januari 2022.
Selain Meerqeen, filem ini turut dibintangi pelakon seperti Sophia Albarakbah, Aidil Aziz, Aiman Hakim Redza, Tony Eusoff, Zain Hamid, Vanidah Imran, Erra Fazira, Amelia Henderson, Nam Ron, Bell Ngasri, Kavin Jay dan Douglas Lim.