berita

Meerqeen Mahu Tawan Pasaran Indonesia – ‘Syukur Dapat Tawaran Berlakon & Pengacara’

November 3rd, 2022 | by Wahidah Othman
Kini Trending

Drama rantaian Melur Untuk Firdaus benar-benar menaikkan nama pelakon Meerqeen di negara serantau.

Artikel Berkaitan: Meerqeen Minta Maaf Isu Berbalas Ciuman Dengan Pelawak Indonesia

Artikel Berkaitan: Tiada Niat Nak Burukkan Sesiapa, Siti Khadijah Tampil Mohon Maaf

Cipta nama berlakon di Indonesia

Bertitik tolak daripada kunjungan pertama untuk sesi bertemu peminat bagi drama tersebut di di Jakarta, rezeki Meerqeen terbuka luas apabila diberi kepercayaan untuk menjayakan produksi di sana.

Memang ini pengalaman yang menarik dan tidak dapat dilupakan. Saya gembira kerana kerja keras selama ini tanpa disangka membuka mata ramai, termasuk produksi luar yang mula menyedari kehadiran dan mempercayai bakat saya.

Aktor berumur 21 tahun yang baru sahaja pulang ke Kuala Lumpur dari Jakarta, begitu teruja berkongsi pengalaman menjayakan sebuah web drama untuk Bank Rakyat Indonesia.

Sebagai pendatang baharu, pemilik nama Muhammad Shameer Shauqeen berbangga apabila mendapat tawaran itu, tambahan pula diberi kepercayaan bergandingan dengan ramai pelakon handalan dalam produksi tersebut.

Web drama berjudul Modus Operandi itu bukan sahaja membuka langkah pertamanya ke sana, tetapi juga memberikan pengalaman baharu untuk saya terus meneroka peluang kerjasama dengan produksi lain di Indonesia.

Sebelum ini, saya ke sana untuk bertemu dengan peminat dan memenuhi pelbagai undangan rancangan TV. Rentetan daripada kunjungan pertama itu, lebih banyak rezeki yang mula terbuka untuk saya mencuba.

Sebagai pelakon baharu, saya gembira dengan tawaran yang datang. Mereka nampak sesuatu dalam diri saya dan ia merupakan penghormatan yang besar, terutama apabila dapat bekerjasama dengan Bank Rakyat Indonesia.

Tawaran pengacaraan

Bercerita mengenai Modus Operandi, Meerqeen diberikan peranan sebagai teraju utama selain gembira dapat bekerjasama dengan pengarah yang cukup berpengalaman iaitu Makbul Mubarak.

Memang saya teruja, pada masa sama gemuruh untuk bekerjasama dengan mereka yang berpengalaman. Ini merupakan produksi pertama saya di sana dan sedikit sebanyak ada perbezaan ketara, terutama dalam cara kerja.

Tapi, saya gembira kerana mereka banyak membantu, terutama semasa proses pra-produksi. Kami terlibat dalam sesi latihan bagi melicinkan proses seterusnya. Ini memang memberikan pengalaman berharga buat saya.

Dalam pada itu, peserta Hero Remaja 2019/2020 bersyukur apabila turut dirisik beberapa produksi lain yang melihat potensi dirinya untuk terus menyerlah dalam bidang lakonan dan pengacaraan.

Alhamdulillah, saya bersyukur dengan beberapa tawaran yang diterima. Kalau kena dengan masa dan jadual, pasti saya akan terima. Apa sahaja perkembangan nanti akan diumumkan kepada semua.

Terima kasih kepada semua pihak, terutama peminat yang sentiasa menyokong kerjaya seni saya. Tanpa sokongan dan doa semua, tidak mungkin saya mampu melangkah sejauh ini.

Kepercayaan yang diberikan ini membakar semangat saya untuk terus berusaha keras dan membuktikan kehadiran saya dalam bidang seni bukan main-main. Saya mahu serius menjadi insan seni yang disegani.

Modus Operandi akan mula ditayangkan pada 4 November ini menerusi saluran youtube BRI (Bank Rakyat Indonesia).

SKIP THIS AD ×