Pelakon kontroversi Fara Mendoza sebelum ini terpalit dengan pelbagai isu panas dan menjadi sasaran kritikan netizen. Tanpa diketahui hujung pangkal, nama penyanyi senior, Ramlah Ram yang dikatakan sebagai ibu saudara Fara. Perkara itu membuatkan penyanyi Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu tampil menjelaskan hal sebenar.
Mulanya tak ambil peduli
Ramlah dilaporkan Harian Metro menafikan perkaitan hubungan kekeluargaan dengan Fara dan hanya mengenali pelakon itu apabila berjumpa dua kali di majlis.
Fara Mendoza bukan anak saudara saya. Kami tidak ada pertalian darah langsung dan dia memang bukan siapa-siapa dengan saya. Saya hanya kenal dia sebagai pelakon kerana kami pernah berjumpa dua kali dalam majlis hiburan.
Selama ini, saya ada juga dengar orang kaitkan kami ada hubungan kekeluargaan yang rapat. Namun, saya biarkan saja. Saya fikir tidak perlu ambil peduli. Namun, apabila pelbagai cerita sensasi mengenai Fara Mendoza timbul maka nama saya dikaitkan.
Terima DM minta nasihat Fara
Tambah penyanyi ini lagi, dia juga menerima mesej di Instagram yang mahu dia menasihati Fara. Ramlah turut menyeru peminat untuk tidak terus mengaitkan mereka berdua kerana perkara itu turut membabitkan keluarganya di kampung.
Banyak DM melalui Instagram dihantar orang ramai kepada saya meminta supaya tolong menasihati anak saudara sendiri.
Dia bukan anak saudara saya, jadi macam mana nak nasihatkannya. Justeru, saya minta janganlah terus mengaitkan kami. Bukan saya seorang saja terkena tempias membabitkan perihal Fara Mendoza ini tetapi keluarga di kampung iaitu adik-beradik dan anak saudara turut terpalit sama.
Sampai Wikipedia pun sama!
Ujarnya lagi, apa yang tambah membingungkan, laman Wikipedia turut menyertakan namanya sebagai ibu saudara kepada Fara. Justeru dia berharap penjelasan berkenaan dapat membersihkan namanya dari terus dikaitkan.
Paling tak disangka, dalam Wikipedia Fara Mendoza pun dicatatkan nama saya sebagai ibu saudara, sedangkan realitinya itu tidak benar.
Malah, kepada pihak yang membuat Wikipedia Fara Mendoza itu, diminta tolong padamkan nama saya sebagai ibu saudara kerana kami bukan ahli keluarga. Saya harap dengan penjelasan ini, nama baik saya dan keluarga dapat dibersihkan kerana kami memang tidak ada kena-mengena dengan Fara Mendoza.
Sumber: Harian Metro, Fara Mendoza, Ramlah Ram