berita

‘Memboikot Barangan Non-Muslim Bukan Satu Seruan Yang Bijak’ – Mufti Perlis

September 3rd, 2019 | by Amat
Isu & Kontroversi

Akhir-akhir ini viral dengan isu melibatkan perkauman dan agama di negara kita. Hal ini bermula apabila persatuan Tionghua dan Tamil membantah memperkenalkan tulisan Jawi. Oleh demikian, segelintir pihak menggesa rakyat Malaysia terutamanya Muslim memboikot barangan keluaran dan produk bukan Bumiputera.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menerusi kenyataan di Facebook menyifatkan tindakan memboikot barangan masyarakat bukan Muslim adalah tindakan kurang bijak. Malah, tindakan itu dilihat tidak adil buat masyarakat bukan Muslim yang tidak mempunyai niat permusuhan dengan orang Islam di negara ini.

Jom kempen bantu ekonomi Muslim

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Hari ini timbul pro dan kontra kempen ‘memboikot barangan non-muslim’. Kempen itu sudah pasti akan menggusarkan perasaan beberapa pihak. Kita tahu, sudah berdekad-dekad non-muslim hidup di tanah ini, tiada kempen yang seumpama itu dilancarkan oleh masyarakat muslim. Bahkan non-muslim menjadi kaya-raya dengan sikap muslim yang membeli barangan mereka tanpa prajudis. Lebih dari itu, sejak dahulu, non-muslim boleh hidup berniaga di tengah-tengah masyarakat Melayu-muslim di tanah air ini tanpa sebarang gangguan. Bukan sekadar tanpa gangguan, hubungan persahabatan dan kemanusiaan dijaga dan dipelihara oleh masyarakat muslim di tanah air ini. Walaupun hal yang sama tidak berlaku dalam masyarakat minoriti muslim di tempat lain. Namun malangnya, hasil dari perbuatan dan sikap sesetengah non-muslim sejak kebelakangan ini, maka majoriti muslim merasai bahkan meyakini ‘madu dibalas tuba, penawar dibalas racun’.

Pun begitu, saya berpendapat memboikot barangan non-muslim bukan satu seruan yang bijak. Ini kerana, walaupun ketara sikap anti-muslim sejumlah mereka khususnya ahli-ahli politik parti tertentu, namun bukan semua non-muslim yang bersikap demikian. Ada mereka yang baik hubungan dan perghormatan mereka kepada masyarakat muslim. Islam tidak mengajar kita memusuhi orang yang tidak memusuhi kita. Kedua, produk muslim sendiri tidak merangkumi seluruh keperluan kehidupan pada masa kini. Maka, sangat sukar untuk berjaya jika memboikot keseluruhannya selagi kita masih bergantung kepada sumber produk bukan muslim dalam sebahagian keperluan.

Anti-Muslim memandang lekeh kepada masyarakat

Saya percaya kempen yang lebih baik ialah kempen membantu ekonomi sesama muslim. Dalam erti kata lain, kita berusaha dengan pelbagai cara menguatkan ekonomi sesama kita. Ekonomi merupakan kuasa penting kekuatan sesebuah masyarakat. Golongan anti-muslim memandang lekeh kepada masyarakat jika ekonomi kita lemah. Maka, kita hendaklah berikhtiar membantu apa yang kita mampu dalam mencapai misi ini. Antaranya, membeli dan mengutamakan produk muslim. Berkongsi kepakaran sesama muslim dalam bidang ekonomi. Tolong berkempen barangan muslim. Mencari ruang supaya hasil produk dan peningkatan peniagaan muslim dapat ditingkatkan.

Sikap tolong menolong dalam ekonomi sesama muslim itu merupakan satu amalan yang baik. Dalam hadis Nabi s.a.w memuji kabilah Asy’ariyin kerana tolong menolong sesama kabilah dalam memastikan kebajikan antara mereka. Dalam hadis;

Ekonomi umat Islam agak ketinggalan

Dalam hadis di atas, Nabi S.A.W. memuji sikap tolong menolong, bantu membantu serta sikap mengambil berat antara satu sama lain. Baginda S.A.W. memuji sikap yang ditunjukkan oleh kaum al-Asy`ariyin yang jamin menjamin kebajikan sesama mereka. Ungkapan Nabi s.a.w: “ Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka” menggambarkan redha Nabi s.a.w. dengan tindakan mereka. Tindakan mereka sesuatu yang terpuji. Ertinya, tolong menolong sesama keluarga atau puak, atau bangsa atau kumpulan dalam daerah kebajikan dan taqwa tidak dianggap sebagai perkauman yang sempit. Ini selagi tidak menzalimi pihak lain.

Maka kempen yang patut ketengahkan ialah ‘bersama mengukuhkan ekonomi muslim’. Apatah lagi realiti yang ada dengan sikap yang ditunjukkan oleh sesetengah pihak amat menuntut agar ekonomi masyarakat Islam diperkukuhkan. Keadaan ekonomi umat Islam agak ketinggalan secara perbandingan. Mungkin kita mempunyai kuasa membeli yang agak tinggi, disebabkan jumlah kita di negara ini. Malangnya, kita bukan peniaga, apatah lagi sebagai pengeluar. Kita sekadar pembeli dan pengguna dalam banyak hal. Hal ini perlu diatasi. Kuasa membeli kita mesti dimanfaatkan.

Tiada siapa pun menyatakan itu ‘rasis’

Perlu disedari pengeluaran sebahagian produk keperluan merupakan fardu kifayah dalam menyelamatkan keperluan dan maruah umat. Membeli dari peniaga muslim sebagai usaha memperkukuhkan kuasa ekonomi Umat Islam pastinya merupakan langkah bagi memastikan fardu kifayah tersebut terlaksana. Jika gagal sehingga umat ini boleh diperkotak-katikkan, maka semua kita berdosa.

Atas kelemahan masyarakat muslim menguasai rantaian bekalan (supply chain) menyebabkan peniaga muslim menghadapi cabaran yang kuat di sudut persaingan. Contohnya, agak sukar untuk kita dapati pasaraya-pasaraya besar dimiliki oleh muslim atau memasarkan barangan keluaran muslim. Demikian juga untuk memperolehi bahan mentah yang baik dan berpatutan. Ini berlaku disebabkan faktor-faktor tertentu, antaranya pihak lain telah lama melancarkan usaha bantu membantu ekonomi sesama sendiri. Tiada siapa pun menyatakan itu ‘rasis’. Jika masyarakat muslim tidak bertindak membantu sesama sendiri, bererti kita membiarkan peniaga dan pengusaha muslim gagal dalam usaha pengukuhan ekonomi. Nabi bersabda:

Demi persaudaraan sesama muslim

Jika kita andaikan setiap rumah muslim membeli barangan keperluan makanan dapur sahaja dari produk muslim, berbillion ringgit setiap bulan pergerakan ekonomi Umat Islam dapat dijalankan. Pastinya akan lebih banyak produk dan syarikat perniagaan muslim akan muncul. Dengan itu, zakat dan bantuan sesama muslim akan bertambah kukuh. Ini merealisasikan sabda Nabi s.a.w:

Dalam masa yang sama, kualiti produk dan urusan perniagaan muslim juga mestilah ditingkatkan. Muslim yang baik, akan memastikan peniagaannya bebas dari penipuan. Sabda Nabi s.a.w:

Akhirnya, pihak lain tidak perlu melihat kempen membeli produk atau peniagaan muslim satu permusuhan. Betapa banyak syarikat iklan yang mengiklan barangan mereka di segala media dan papan tanda. Itu bukan bererti satu peperangan kepada syarikat lain. Ia satu usaha syarikat untuk melariskan produk mereka demi pengukuhan ekonomi mereka. Demikianlah kita semua masyarakat muslim. Kita semua berusaha memajukan masyarakat muslim kita terutama dalam menghadapi situasi yang ada seperti sekarang. Ini demi persaudaraan sesama muslim, keteguhan ekonomi umat dan masa depan bersama.

Sumber: DrMAZA

SKIP THIS AD ×