berita

Memperbaiki Kesihatan Kulit & 4 Lagi Manfaat Minyak Zaitun Untuk Kesihatan Anda!

November 16th, 2020 | by AnisAffandi
Kesihatan & Hidup Aktif

Foto: Healthline

Minyak zaitun adalah lemak yang diperoleh hasil daripada perahan buah zaitun. Anda mungkin pernah dengar tentang amalan makan sesudu minyak zaitun setiap hari, ia sebenarnya memang betul kerana minyak zaitun mempunyai banyak kebaikan untuk tubuh badan dan juga kecantikan anda. Disebabkan khasiatnya yang tinggi, ia sering digunakan dalam perubatan, kosmetik dan juga masakan.

Dapat panjangkan umur

Foto: Bicycling

Dari sudut pemakanan yang sihat, minyak zaitun mengandungi antioksidan yang mencegah daripada pelbagai jenis penyakit. Pengambilan minyak zaitun sesudu sehari boleh menyumbang kepada jantung yang sihat. Malah, ia juga dapat merendahkan tahap kolestrol dalam darah kerana ia mempunyai tahap lemak tepu dan lemak tak tepu yang minima. 

Minyak zaitun juga selalunya dimakan bersama sayur-sayuran dan buah-buahan kerana ia dapat membuatkan badan menjadi lebih sihat dan panjang umur.

Mencegah dan kurangkan risiko kanser

Foto: Healthline

Sifat antioksidan yang kuat pada minyak zaitun dapat mencegah dan mengurangkan risiko kanser terutamanya kanser payudara dan kanser kulit. Dengan menggunakan minyak zaitun sebagai penjagaan kulit dapat melindungi kulit anda daripada cahaya matahari yang berbahaya. 

Kanser payudara sering berlaku disebabkan selalu menghadam lemak yang tidak elok. Manakala, lemak yang ada pada minyak zaitun dapat memainkan pernanan untuk melawan perkembangan tumor. 

Memperbaiki kesihatan kulit

Foto: Cookist

Minyak zaitun mempunyai sejumlah besar Vitamin E, yang dapat meningkatkan kesihatan kulit dengan merawat keradangan, jerawat dan mengelakkan kulit daripada penyakit serius seperti kanser kulit.

Ia juga mempunyai antioksidan yang dapat melindungi kulit anda daripada pelbagai faktor luaran seperti sinaran matahari atau angin yang kuat. Minyak zaitun yang ringan menjadikannya pelembap yang tidak melekit yang tahan lama dan sesuai dengan semua jenis kulit. Jadi, walaupun kulit anda sensitif, minyak zaitun masih boleh digunakan.

Memastikan rambut kekal sihat

Foto: Power Of Positivity

Minyak zaitun bersama beberapa bahan lain seperti madu dan kuning telur, boleh bertindak dengan baik untuk mengekalkan kesihatan rambut. Minyak zaitun yang kaya dengan Vitamin E boleh membantu elakkan rambut untuk gugur. 

Urutan minyak zaitun sebelum mencuci rambut anda dengan syampu juga dapat membantu memberikan kilauan dan kekuatan pada rambut anda. Kandungan di dalam minyak zaitun sudah terbukti dapat memastikan rambut anda kekal sihat dan cantik.

Gantikan lemak haiwan dengan minyak zaitun

Foto: Healthline

Menurut kajian, individu yang mengamalkan sesudu minyak zaitun sehari mempunyai risiko yang lebih rendah untuk menghidap penyakit kardiovaskular. 

Ia juga dapat merendahkan risiko penyakit jantung jika anda mengamalkan minyak zaitun dalam diet harian anda. Oleh itu, penggunaan minyak zaitun dalam masakan sangat digalakkan kerana kandungannya yang penuh khasiat berbanding minyak lain yang mempunyai lemak yang tidak baik. Namun, jika mengamalkan minyak zaitun setiap hari tetapi tidak mengambil makanan yang sihat, ia tidak memberi kesan yang begitu efektif.

Anda boleh mengamalkan minyak zaitun dalam pemakanan seharian sebagai makanan kesihatan atau sebagai suplemen harian untuk membantu mencegah pelbagai penyakit kronik. Tidak salah untuk mengambil minyak zaitun setiap hari, tetapi ia juga haruslah disertai dengan pemakanan yang sihat dan senaman sebagai gaya hidup yang sihat.

Sumber: helloDOKTOR, Healthline.

SKIP THIS AD ×