Umum mengetahui, penyerang muda pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Muhammad Syafiq Ahmad telah terlibat dalam kemalangan jalan raya semalam. Lebih menyedihkan, insiden cemas yang berlaku itu turut meragut nyawa anaknya yang baru berusia 22 hari, ibu mentua serta pembantu rumahnya.
Artikel berkaitan: [VIDEO] Pemain JDT Syafiq Ahmad Kemalangan, Bayi Berusia 22 Hari & Ibu Mertua Meninggal Dunia
Menerusi laporan Harian Metro, isteri Syafiq iaitu Nur Amalina Norain, turut mengalami kecederaan yang parah ekoran kemalangan tersebut. Namun begitu, Amalina masih sempat mengucup wajah anaknya buat kali terakhir sebelum dikebumikan.
Suasana pilu di Unit Forensik
Menurut laporan Harian Metro, suasana di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya telah bertukar menjadi pilu sebaik sahaja Amalina diberi peluang mengucup jenazah anaknya iaitu Muhammad Aisy Saqeef buat kali terakhir. Meskipun keadaannya masih lemah, Amalina dipercayai dibawa turun dari wadnya dengan ditolak menggunakan katil ke bahagian Unit Forensik.
Sewaktu di bahagian Unit Forensik, Amalina kelihatan membelai dan mengucup bayinya beberapa kali. Di samping itu, dia juga berpeluang untuk menatap wajah ibunya Zainab Wahab, yang turut terkorban dalam kemalangan tersebut.
Tidak dapat kawal perasaan
Menurut adik Muhammad Syafiq iaitu Zulfadhli, abangnya masih terkejut dan sukar menerima kenyataan mengenai kejadian yang telah berlaku. Tambahnya, abangnya itu hanya menangis dan enggan bercakap dengan sesiapa yang menghubunginya menerusi telefon kerana terlalu sedih.
Dia akan menangis setiap kali ada saudara mara atau kawan datang bertanyakan keadaannya selain enggan bercakap dan hanya menyebut nama anaknya sahaja Aisy.
Kemalangan yang berlaku awal pagi di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Sungai Bakap itu, turut menyebabkan anak sulung Muhammad Syafiq iaitu Aaira Nur Saffiya, mengalami cedera ringan dan kini dirawat di wad kanak-kanak HSJ.
Selamat dikebumikan
Menerusi laporan Sinar Harian, jenazah ibu mentua dan bayi kepada penyerang muda negara itu telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Murai, Padang Pusing, semalam juga. Kedua-dua jenazah telah disemadikan dalam satu liang lahad.
Sumber: Harian Metro & Sinar Harian