Sebelum ini kecoh di media sosial apabila segelintir pelakon tidak berpuas hati dan meluahkan rasa kecewa terhadap stesen televisyen dan beberapa produksi yang mengharapkan pelakon untuk membuat promosi drama atau filem di laman sosial milik mereka.
Walaubagaimanapun, menerusi Berita Harian pelakon Zul Ariffin pula berpendapat sebaliknya berkenaan isu tersebut dan dia juga bersedia mempromosikan filem atau drama yang dibintanginya secara ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran.
Tidak akan sesekali berkira
Menurutnya, dia tidak akan sesekali berkira apabila diminta untuk mempromosikan filem atau drama lakonannya di media sosial terutama menerusi platform Instagram.
Menerusi produk yang ditayangkan, peminat akan menyedari hasil kerja kita. Jadi, mengapa perlu berkira kerana nanti kita juga akan mendapat manfaatnya?
Lagipun, sekarang banyak medium yang ada untuk mempromosikan produk dengan lebih cepat dan berkesan. Saya juga tidak kisah jika diminta turun padang, malah berbesar hati menerima peluang itu.
Perlu jaga hubungan dengan pihak produksi
Tambahnya lagi, dia turut kesal dengan sikap segelintir pelakon yang hanya memikirkan tentang keuntungan peribadi. Selain itu di turut melihat bahawa perkara ini adalah salah satu cara untuk menjaga hubungan jangka panjang dengan pihak produksi dan stesen televisyen.
Saya tahu ada pelakon yang berkira jika diminta mempromosikan lakonan mereka di Instagram. Mengapa terlalu berkira, sedangkan mereka juga terbabit dalam produksi yang mahu dipromosikan itu.
Apa yang kita buat diperhatikan. Kalau terlalu berkira, mungkin produksi berat hati untuk memberikan tawaran baharu. Kita perlu menjaga hubungan, terutama dengan syarikat produksi besar.
Jika drama lakonan mendapat sambutan, pelakon juga yang akan untung apabila menerima pelbagai tawaran baharu.
Sumber: Berita Harian