berita

‘Menteri Kewangan Perlu Senaraikan Projek-Projek Rundingan Terus’ – Tun M

August 25th, 2020 | by Ben Farid
Kewangan & Pelaburan

Ketika Pakatan Harapan (PH) masih mentadbir negara, dikatakan sebanyak 101 projek membabitkan nilai RM6.61 billion telah dibuat secara rundingan terus. Perkara itu disahkan oleh Menteri Kewangan melalui rekod yang diperolehnya. Bagaimanapun menurut Tun Dr Mahathir Mohamad, menteri perlulah senaraikan nama penerima projek-projek tersebut.

Elak tanda tanya

Melalui video yang dimuat naik melalui Facebook rasmi Tun Dr Mahathir, beliau menyatakan bahawa menteri sepatutnya mengeluarkan senarai nama mereka yang mendapat projek-projek tersebut buat pengetahuan orang ramai. Ini kerana jika hanya pengumuman projek sahaja yang dibenarkan tetapi senarai penerima tidak dikeluarkan, ianya boleh menimbulkan tanda tanya dari orang ramai.

PH lulus ketika mentadbir

Untuk makluman dewan yang mulia ini, semasa pentadbiran sebelum ini, sejumlah 101 projek atau perolehan yang bernilai RM6.61 bilion telah diluluskan secara rundingan terus oleh Kementerian Kewangan. Salah satu kriterianya adalah perolehan bekalan perkhidmatan melibatkan keperluan mendesak yang mana jika perolehan tersebut tidak dilaksanakan dengan segera ia boleh memudaratkan atau menjejaskan perkhidmatan atau kepentingan negara

Memetik laporan Sinar Harian, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan perkara tersebut ketika penggulungan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019(Covid-19) di Dewan Rakyat.

Kenyataan itu juga disebut bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung jumlah tender secara rundingan terus yang telah diluluskan. Beliau juga menyatakan bahawa kerajaan melaksanakan perolehan projek kerajaan secara persaingan terbuka melalui kadar perolehan seperti sebut harga, tender terbuka dan tender terbuka pra-kelayakan dan kaedah peroleh dibenarkan dengan kelulusan Kementerian Kewangan.

Sumber : Sinar Harian , Dr. Mahathir Mohamad

×