Siapa je yang tak nak jadi kaya? Ramai yang nak jadi kaya dengan cara yang mudah. Ada yang guna jalan pintas untuk kaya dengan menipu orang lain dan lebih memalukan, ada yang sanggup berjudi walaupun ianya sama sekali salah di sisi agama. Dek kerana tamakkan harta, ada sesetengah individu yang mengamalkan ilmu hitam dengan harapan memperoleh kekayaan dengan cepat!
Seorang pengguna Facebook, Mohd Fitri yang merupakan seorang pegawai tentera berkongsi pengalaman dirinya semasa muda yang nekad mempelajari ilmu ‘tarik duit’ walaupun ianya dilarang oleh gurunya. Pengakhiran cerita ini tersirat seribu satu pengajaran buat kita semua.
‘Kamu nak buat apa ilmu itu semua? Nak kaya?’
Seperti yang dijanjikan, saya akan cerita versi saya dalam pencarian ilmu-ilmu. 2 cerita saya akan beri iaitu ilmu nombor ekor dan ilmu tarik barang/duit.
Kisah ini panjang. Bacalah perlahan-lahan dan ambillah pengajaran, Ok? Bab nombor ekor ini memang banyak kita dengar. Dulu, saya sendiri adalah saksi kepada beberapa kawan dan bos atasan saya yang jadi gila nombor ekor. Sampai mereka semua bercerai berai, duduk bersendirian, harta apapun tak ada, berhutang sana sini, duit gaji habis pada nombor ekor.
Mmmmm.. Fitri (bukan nama sebenar) pun pernah nak cari kebenaran perkara ilmu nombor ekor ini. Umur saya waktu itu baru 20an, bujang dan tak berharta. Hutang banyak la. Hutang bank, hutang koperasi, hutang orang. Dalam masa sama, saya kuat menuntut ilmu-ilmu mistik dan misteri. Segala jenis tok guru saya redah dan kutip ilmu sebanyaknya. Sehinggalah saya berjumpa dengan 1 guru tua ini, yang pada saya, dia amatlah banyak ilmu yang dirahsiakan. Nak pujuk dia untuk terima saya, amatlah susah. Pendek cerita, selepas diuji banyak kali, akhirnya saya diterima jadi murid dia. Saya paling muda dalam beberapa anak murid tok guru ini.
Dah lama berguru bermacam ilmu, memang habis duit sendiri sebab ulang alik dan makan minum. Satu malam, ketika duduk bersembang di rumahnya, saya cakap pada tok guru yang saya nak tahu ilmu nombor ekor dan ilmu tarik duit. Terbeliak mata tok guru dan dia marah,
“Kamu nak buat apa ilmu itu semua? Nak kaya? Nak tarik duit siapa? Nak tarik pakai apa!” tok guru jerkah saya. Saya melawan dia, “Ya lah, saya nak belajar jugak. Tok guru ada tak ilmu tu? Kalau ada ilmu buat nombor ekor ke, saya nak tahu”. Terus tok guru tak pandang muka saya. Anak-anak murid dia yang senior dari saya, semua tunduk diam je. Tapi sebenarnya, mereka yang suruh saya tanya tok guru pasal ilmu tu! Saya pula yang kena marah.
Terus pakcik itu duduk sebelah saya
Malam itu semua yang lain dah balik rumah masing-masing, saya pula tidur seorang diri beralaskan beg di ruang tamu rumah tok guru. Esok pagi lepas solat Subuh jemaah dengan tok guru, dia tanya, “Kau nak sangat tahu Iimu-ilmu itu?” saya angguk. “Baiklah. Kau pergi ke Gunung Tanjak (bukan nama sebenar), dan kau duduk situ. Tapi apa jadi nanti, tok guru tak tanggungjawab”
Itu cabaran dah tu. Fikir panjang juga saya jadinya. Tapi dah alang-alang melangkah, jangan semangat patah. Tengahari itu saya pergi seorang diri ke kaki gunung itu. Saya tekad, seorang diri redah hutan dan panjat punya panjat, sampai hampir di puncak, ada air mata air. Jadi saya duduk situ. Saya buat unggun api, letak beg galas, saya sandar dan tidur begitu saja. Penat.
Tiba-tiba saya terjaga, dah gelap! Malam dah rupanya. Angin sejuk mula datang. Saya nyalakan semula unggun api, dan duduk diam sajalah. “Assalamualaikum!”… Suara datang mana pula dah. Saya balas salam tu. Pandang tak jauh di depan, ada seorang pakcik sebaya 50an datang pada saya. Nampak macam dia ini orang kampung pencari hasil hutan.
Pakcik: “Buat apa disini?”
Saya: “Nak cari ilmu nombor ekor”
Terus pakcik itu duduk sebelah saya, dia suruh saya balik sajalah. Macam-macam nasihat dia bagi pada saya, jangan dibuat benda2-benda macam itu, katanya. Tapi saya tetap degil, tak nak balik. Pakcik itu geleng kepala, dia pun berjalan tinggalkan saya.
Selang dua jam lepas tu, dalam gelap, pakcik itu datang balik. Dia bawa 2 guni besar (guni gula warna putih tu). Dia buka ikatan guni tu, di longgok depan saya! Nak tahu dia longgok apa? Dia longgok duit Rm50 dengan Rm100 depan saya! Kiranya lebih berjuta ringgit la nilai duit tu semua. Dia kata, “Tak payahlah belajar nombor ekor, anak nak duit? Ambil duit ini. Pakcik bagi. Pergilah balik”
Tiba-tiba… bau wangi. Angin tiup lembut
Saya cakap, “Pakcik… Saya bukan nak duit, sikit pun tak nak, saya nak ilmu, nak tahu macam mana buat nombor ekor” Pakcik tu geleng kepala. Dia kutip balik duit tu semua, dan pikul 2 guni itu turun dari gunung, tinggal saya seorang. Esoknya, saya dah letih, tak tahu nak buat apa. Nak turun gunung dan keluar hutan balik rumah tok guru, tapi malu.. Jadi saya tekad, apa nak jadi, jadilah, saya duduk juga dalam hutan ni.
Jam lebih kurang pukul 4 petang, tiba-tiba pakcik tu datang lagi. Saya mula rasa pakcik ini mungkin bukan orang, atau pun dia ini orang yang ‘istimewa’. Tapi kali ini dia bawa seorang perempuan lawa! Memang amat lawa, terpegun saya. (Tak ada seorang pun kawan dalam FB saya ini, yang secantik perempuan tu. Sori, korang tak cantik, marah la marah. Benda betul hahahaha).
“Anak, marilah turun. Tak payahlah belajar benda-benda macam itu. Nak duit, pakcik bagi sebanyak mana pun. Nak kahwin, ini anak pakcik, kahwinlah, pakcik bagi. Sudahlah tu.”. Pakcik itu suruh anak perempuan dia duduk sebelah saya dan sembang dengan saya. Aduh, cantiknya muka, badan tip top. Suara lembut je, jernih muka, tak puas pandang dia. (kalaulah waktu zaman ni ada handphone, dah selfie dah dengan dia. Lawa sangat oiii).
Tiba-tiba saya teringat niat saya. Saya pun cakap, “Pakcik, bukan saya menolak anak pakcik, tapi niat saya nak cari ilmu itu. Bukan nak kahwin. Saya hargai apa pakcik beri ni dan penat pakcik dan anak pakcik masuk hutan cari saya.” Lepas tu pakcik dan anak perempuannya pun tinggalkan saya. Muka masam je mereka berdua. Saya dah tekad, aku nak ilmu, selagi tak dapat jawapan, aku tak nak keluar hutan ni. Lantak lah.
Malam itu, macam malam semalam, saya pasang unggun api dan duduk termenung tengok langit seorang diri. Rasa menyesal pun ada, lawa sungguh anak pakcik tadi tu. Duit pun pakcik tu nak bagi free… Mmmm. Tiba-tiba… Bau wangi. Angin tiup lembut, hutan jadi sunyi sepi, tiada bunyi unggas pun. Saya berdiri, pandang sekeliling. Berdiri di tepi pokok, seorang perempuan yang cantik, dengan pakaian hijau bersulam emas. Dia melangkah merapat pada saya. Sah ini mesti makhluk lain ni. Saya baca ayat-ayat dan berdiri tegak. Seram dan risau juga, sebab saya seorang diri.
Dia gelak pada saya, suruh saya balik saja
Dia kenalkan diri sebagai ‘Puteri Hijau’. Dia tanya saya, buat apa disini. Saya pun cakap yang saya sedang cari ilmu nombor ekor. Dia gelak pada saya. Dia suruh saya balik saja. Saya tak puas hati, saya kata yang saya nak jugak ilmu tu walau apapun. Dia jeling pada saya. Dia tunjuk pada beg galas saya. Tiba-tiba bergegar sikit tanah, bergoyang saya. Saya tengok tanah bawah beg saya macam dikorek-korek. Apa tu! Saya nampak, entah dari mana, naik dari dalam tanah itu, jongkong-jongkong emas! Banyak pulak tu. Semua keluar dari tanah, betul-betul bawah beg galas saya.
“Baliklah kamu. Ambil saja emas semua itu, isikan dalam beg kamu itu. Semua beta hadiah pada kamu.” Saya terdiam, saya pandang muka ‘puteri’ itu, saya cakap, “Maafkan saya, bukan saya tak mahu terima. Tetapi waktu saya melangkah keluar di pintu rumah nak ke sini, niat saya ialah nak ilmu. Benda lain saya tak mahu”
Puteri itu datang merapat ke muka saya. Dia macam nak terkam saya. Bau wangi dia masuk kuat ke hidung saya. Dia tenung mata saya dan dia kata.. “Kamu ini manusia yang paling jujur beta pernah jumpa. Baiklah, jika itu yang kamu mahu, bulan hadapan kamu naiklah ke Bukit Angin (bukan nama sebenar). Kamu ikut air sungai sehingga kamu jumpa pokok terap yang dibawahnya ada batu hampar. Kirimkan salam beta kepada guru kamu.” Selepas dia cakap begitu, dia pergi berjalan dan menghilang diri dalam gelap malam.
Esoknya saya redah hutan, turun dan keluar dari gunung itu. Saya tahan lori, tumpang sehinggalah sampai ke rumah tok guru. Tok guru tanya, dapat apa? Saya pun cerita apa yang berlaku semua kepada tok guru. Dia diam hanya angguk kepala saja. Sepatah komen pun dia tak cakap. Esoknya saya balik ke tempat saya dan kerja macam biasa. Nak tunggu lagi sebulan sebab nak kena naik Bukit Angin pulak.
Sebulan dah berlalu, sampai masanya saya pun ke rumah tok guru. Ada 3 orang anak murid tok guru yang senior dari saya di rumah dia. Mereka bertiga pun hantar saya ke kaki bukit itu. Mereka kata mereka tunggu saya dalam kereta. Saya pun galas beg dan mula daki bukit itu seorang diri. Mahu tak mahu, saya kena hadapi juga, sebab semua ini saya mulakan. Saya redah anak sungai dan ikut anak sungai itu ke atas. Dua jam lebih berjalan, nampak 1 pokok terap.
Harimau tengah baring bawah pokok tu
Saya dongak tengok dari pucuk pokok, sampai mata saya ke bawah pokok tu. Ya Allah! Ada harimau! Tengah baring di bawah pokok tu. Memang betul ada batu yang terhampar dibawah pokok tu, dan rimau tu baring atas batu tu! Saya cepat-cepat tarik pisau saya, genggam kuat-kuat. Saya duduk, menyorok belakang batu dan intai harimau tu.
Apa nak buat ni! Langit makin nak gelap lewat petang nak malam dah ni. Saya pun baca surah Al-Lahab 3 kali dan saya zikirkan ayat ‘Salamun a’la nuhhin filla’lamin’. Tak lama selepas itu, harimau itu bangun dan berjalan masuk hutan. Lega dah hati saya. Saya pun berjalan perlahan lahan ke batu itu, bau hamis harimau tu kuat betul. Saya letak beg dan rehat menunggu malam. Saya buat unggun api.
Oleh kerana tadi terserempak harimau (harimau betul atau jadian, entahlah), saya pun mula zikir dan buat beberapa amalan pendinding seperti 3 Qul, 7 salam, ayat-ayat terakhir surah Al-Baqaroh, bacaan 7 Mubin dalam Yasin dan ayat ‘Nabi Sulaiman’ ayat 102 surah A- Baqarah. (tolong pergi berguru dengan ustaz, ambil sanad dan adab ilmu yang betul, jangan ambil dari sini).
Tunggu punya tunggu. Malam makin lewat. Apapun tak ada lagi. Saya tunggu lagi. Tersengguk mengantuk, tengok jam, dah pukul 1 pagi. Saya tenung je pokok terap tu. Apapun tak ada. Yang ada hanya binatang sumpah-sumpah seekor. Itu saja. Saya pun buat keputusan, balik sajalah. Saya buka lampu suluh, mula berjalan keluar ikut anak sungai itu, sampailah ke jalanraya. Saya tengok kereta senior saya dah tak ada. Saya pun jalan kaki balik ke rumah tok guru. Jauhnya lebih kurang 15km. Pedih kaki. Sampai dirumah tok guru, saya tengok 3 senior saya tu elok je tengah tidur!
Saya punya marah, tapi hanya mampu bercakap dalam hati saja “Celaka punya kawan-kawan. Aku susah-susah masuk hutan, hadap harimau, hadap jin setan. Korang boleh tidur je tinggalkan aku dalam hutan. Tadi janji akan tunggu aku di luar hutan, kalau dapat nombor nak sama-sama dapat habuan”
Letak kain kuning sejengkal dalam lubang itu
Tok guru tanya, dapat apa, saya jawab tak dapat apapun. Tok guru senyum dan kata padan muka pada saya. Saya geram, sedih, bengang, semua ada. Tok guru tanya, “Kamu ada nampak lubang di pokok tu? Ada kamu letak apa-apa dalam lubang pokok terap tu?”
Saya jawab, “Laaa, memang ada lubang, tapi mana saya tahu kena letak apa-apa disitu. Tok guru tak beritahu” Tok guru balas dengan senyum perli, “Dah kau tak bertanya. Itulah, nak tunjuk pandai, degil! Petang ini kau pergi semula, letak kain kuning sejengkal dalam lubang itu. Kau tunggu sampai embun jantan menitik, baru ambik semula kain itu”
Petang itu juga saya pergi, tapi pergi sendiri naik motor. Tak mahu ajak kawan-kawan tak guna semua tu. Sampai saja di tempat semalam, terus saya letak kain kuning dalam lubang di pokok terap itu. Saya tunggu. Elok-elok saja embun jantan menitik (lebih kurang pukul 11 malam), cepat-cepat tarik semula kain kuning itu. Saya gulung dan simpan dalam poket. Saya pun dalam gelap berjalan laju keluar dari hutan itu. Habis luka kaki dan tangan saya kena duri-duri hutan.
Sampai di rumah tok guru lebih kurang pukul 2 pagi lebih, mereka semua menunggu saya. Saya pun bagi kain kuning itu kepada tok guru. Tok guru tak nak sentuh, dia suruh saya yang buka gulungan kain itu. Saya pun bukalah. Wah! Ada 23 nombor setiap satu nombor itu ada 4 nombor. Terus senior-senior saya itu salin nombor-nombor itu semua atas kertas. Sungguh teruja mereka, saya diam je geram dengan perangai mereka. Nak saja lepuk kepala mereka, tapi mereka dah tua. Dalam hati, “kecik kecik tak nak mampus, dah tua menyusahkan orang”.
Lepas salin nombor-nombor itu, mereka berpakat. Seorang akan ke Pahang, seorang ke KL, seorang ke Penang. Mereka rancang untuk beli nombor-nombor itu semua itu supaya boleh dapat banyak duit. Mereka salam tok guru, terus bergerak dengan kereta masing-masing. Saya tengok sajalah perangai mereka. Saya lihat muka tok guru sedih, tapi dia tak cakap apapun.
Saya bermimpi Pakcik Gunung Tanjak itu datang
Badan saya dah amat letih, luka-luka kena duri tadi pedih, jadi saya malas nak fikir apa, saya tidur saja. Dalam tidur, saya bermimpi Pakcik yang di Gunung Tanjak itu datang, dia pesan pada saya, “Jangan kamu beli nombor-nombor itu”. Saya terjaga. Lusa, saya tengok di surat khabar. Eh, semua 23 nombor itu kena!!! Dari tempat pertama, sampai ke hadiah saguhati. Semua kena! Tapi saya tak beli 1 pun.
Tok guru senyum pada saya, dia kata, “Kamu sudah belajar sekarang? Lihatlah apa terjadi kepada abang-abang senior kamu. Mereka mengejar dunia dan tinggalkan kita, sehingga mereka lupa bahawa ilmu yang baik itu lebih berharga dari seisi dunia”
Saya terkedu dan terus menangis di depan tok guru. Dia usap kepala saya. Apa yang terjadi kepada 3 senior saya itu? Ya, mereka jadi kaya raya. Tapi kaya mereka sekejap saja, kemudian macam-macam bala mereka dan keluarga mereka kena. Akhirnya mereka bertiga telah mati dalam keadaan yang menyedihkan.. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa mereka.
Begitulah kisah pengalaman dan kesusahan saya mencari tentang ilmu nombor ekor. Bersyukurlah dengan apa yang ada. Saya tak beri 4 nombor ekor, tetapi saya nak beri 4 pengajaran. Pertama, nak dapat kawan yang betul-betul susah senang bersama memang susah. Yang ramai hanya kawan yang nak waktu senang saja. Kedua, hidup ini carilah rezeki halal dan berkat. Kalau nak rezeki yang haram, memang sekejap saja boleh dapat, tapi sekejap jugalah ia akan hilang, dan akan lebih rugi lagi.
Ketiga, zaman ini nak mencari orang yang jujur, yang amanah dan yang Setia. Adalah perkara yang paling susah nak jumpa. Apa salahnya kalau kita pula menjadi orang yang Jujur, Amanah dan Setia. Itulah nanti akan jadi aset termahal diri kita. Terakhir, Allah itu kan MAHA KAYA. Kalau kita nak kaya, mintalah pada Allah.
Sumber: Mohd Fitri