Dalam perkembangan industri kecantikan masa kini, produk berkonsep mesra wuduk semakin mendapat tempat dalam kalangan wanita Muslim.

Artikel Berkaitan: Apakah Hukum Mengambil Wuduk Dengan Memakai Cincin? Ini Penjelasan Jabatan Mufti 

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Ramai Keliru, Dr Alina Perjelas Hukum Angin Keluar Dari Faraj, Batalkah Wuduk?

Tidak menjamin air wuduk sampai ke kulit

Walau bagaimanapun, ia turut mencetuskan persoalan dalam kalangan pengguna berkaitan sejauh mana produk tersebut benar-benar memberi kesan terhadap kesempurnaan wuduk serta status sah solat.

Menurut penjelasan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat pengeluar yang mendefinisikan kosmetik mesra wuduk sebagai produk yang mudah ditanggalkan, iaitu hanya menggunakan air tanpa memerlukan penggunaan sabun atau bahan pembersih khas.

Namun begitu, pengguna tetap disarankan untuk menanggalkan solekan terlebih dahulu sebelum berwuduk bagi memastikan air sampai terus ke kulit tanpa sebarang halangan.

Dalam pada itu, pengasas produk kecantikan jenama Nurraysa, Nur Aini Zolkepeli menjelaskan bahawa istilah mesra wuduk tidak semestinya menjamin air wuduk dapat sampai ke permukaan kulit secara sempurna kerana perkara tersebut bergantung kepada formulasi produk.

Selain itu, dia turut menjelaskan bahawa produk keluarannya menggunakan pendekatan tanpa silikon, iaitu sejenis bahan polimer sintetik yang digunakan dalam produk penjagaan kulit dan kosmetik seperti asas solekan, pelembap serta syampu.

Bahan ini berfungsi memberikan kesan licin pada kulit selain bertindak sebagai pelembap dan antiperspirant, iaitu membantu mengurangkan rasa melekit serta mempercepatkan proses kering pada kulit.

Di samping itu, silikon juga boleh membentuk lapisan halus pada permukaan kulit yang memberi kesan memantulkan cahaya, sekali gus menjadikan garis halus dan ketidaksempurnaan wajah kelihatan lebih samar.

Dalam masa sama, lapisan ini menjadikan solekan tahan lebih lama, namun berpotensi memerangkap kotoran dan minyak yang boleh memberi kesan kepada kesihatan kulit.

Tidak mengandungi bahan najis

Berbeza pula dari sudut pandangan hukum, menurut Ustazah Asma Harun, solat seseorang itu tetap sah walaupun memakai solekan ketika menunaikan ibadah tersebut.

Hal ini kerana wanita tersebut telah mangambil wuduk terlebih dahulu, lalu memakai alat solek dan menjaga wuduknya sebelum menunaikan solat.

Yang penting bahan-bahan alat solek itu suci, tidak mengandungi bahan-bahan yang haram dan najis.

Walau bagaimanapun, kaum wanita dinasihatkan untuk bersederhana dalam berhias agar tidak berlebihan sehingga terjerumus kepada unsur tabarruj.