Pelakon meningkat naik, Mierul Aiman meluahkan rasa syukur dan bangga apabila dia akhirnya berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekanikal.
Artikel Berkaitan: Aedy Ashraf Tak Tergugat Dengan Kemunculan Mierul Aiman & Amir Ahnaf -‘Saingan Yang Sihat’
Artikel Berkaitan: ‘Apa Makin Pelik Ni’ – Peminat Kecewa Dengan Penampilan ‘Panas’ Mierul Aiman
Tunaikan janji pada ibu bapa
Ketika dihubungi OhBulan!, Mierul berkata pelbagai suka dan duka telah dilaluinya sepanjang tempoh lima tahun bergelar seorang mahasiswa di Universiti Selangor (Unisel).
Mierul atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Aiman, 25, berkata dia turut menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hadiah terbesar buat kedua ibu bapanya yang selama ini telah berkorban untuk dirinya.
Setelah lima tahun saya sambung pengajian bermula dari asasi sehingga tamat ijazah, akhirnya saya berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal.
Alhamdulillah perjalanan yang sangat panjang, sangat ‘liar’ termasuk ujian, cabaran, senyuman, kebahagian semuanya tercapai sepanjang proses menjadi seorang pelajar di Unisel (Universiti Selangor).
Malah saya sebak mengingat memori-memori lama ketika saya survive dulu. Saya juga gembira apabila akhirnya dapat memberikan hadiah terbesar kepada ibu bapa saya.
Saya dapat membalas kebahagian yang mereka inginkan. Sudah pasti ibu bapa mahukan anak-anak mereka berjaya. Dapat ukir senyuman dan janji yang pernah saya cakap pada ibu bapa saya untuk tunaikan.
Dalam pada itu, Mierul turut memberitahu dia terpaksa menunda pengajiannya selama satu semester kerana mahu memberi fokus pada pertandingan Hero Remaja yang disertainya pada tahun 2022.
Menjadi seorang artis adalah salah satu impian saya dan menjadi seorang jurutera adalah juga salah satu misi karier saya. Itu adalah profesional yang sesuai dengan jiwa saya.
Saya berjanji dengan mak abah saya untuk menghabiskan pengajian saya walau apa pun terjadi. Itu adalah perjalanan yang sangat panjang.
Teringat balik sewaktu saya masuk Hero Remaja, berbekal lagi satu semester dan hanya tabur janji dengan bercakap mulut sahaja yang saya akan menghabiskan pengajian selepas keluar Hero Remaja.
Saya terpaksa extend satu semester sebab mahu beri fokus pada pertandingan. Mak ayah saya meletakkan kepercayaan pada saya seratus peratus.
Tambah pelakon drama bersiri Projek: High Council itu lagi, buat masa ini dia hanya mahu memberikan fokus sepenuhnya terhadap kerjaya seninya sebagai seorang pelakon.
Bagaimanapun, tidak menepikan kepentingan pelajaran dan percaya ilmu yang dimiliki seseorang bakal membentuk sikap yang baik.
Buat masa ini tiada lagi, saya masih lagi nak fokus dalam bidang seni. Tapi saya akan terus belajar dan belajar dalam bidang saya sekarang.
Saya percaya bidang saya ini memerlukan pengetahuan yang banyak. Saya juga percaya ilmu memainkan peranan penting bukan hanya dalam dunia artis tapi dalam apa jua kerjaya untuk memastikan seseorang itu memiliki sikap yang baik.
Terdahulu, Mierul berkongsi beberapa foto di Instagram miliknya sewaktu majlis Konvokesyen Universiti Selangor kali ke-17.