Sebelum ini Portal Perisytiharan Harta dibangunkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengisytiharkan nilai aset dan harta beberapa orang pemimpin termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, YB Lim Guan Eng dan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.
Terbaru, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru saja menghantar perisytiharan harta sebagaimana diminta kerajaan untuk semua anggota Kabinet.
Perisytiharan harta Anwar Ibrahim
Ahli Parlimen Port Dickson itu baru saja mengisytiharkan nilai keseluruhan aset miliknya bernilai sebanyak RM10.74 juta.
Menurut Setiausaha Sulit, Shukri Saad berkata perisytiharan termasuk nilai rumah miliknya di Bukit Segambut bernilai RM9.5 juta. Rumah di Bukit Damansara itu dahulunya dibeli pada tahun 2005 dengan harga RM4.5juta.
Turut diisytiharkan adalah sebidang tanah di Permatang Habib, Mukim Penor, Kuantan, Pahang yang dibeli pada tahun 1974 dengan harga RM7,000. Nilai anggaran tanah itu kini ialah RM420,000.
Harta selebihnya adalah daripada akaun-akaun pelaburan dan wang simpanan yang berjumlah RM828,658.83.
Justeru dengan ini dimuktamadkan bahawa jumlah harta milik Anwar adalah bernilai RM10,748,658.83.
Senarai nilai aset dan harta pemimpin
Menduduki senarai teratas yang mempunyai nilai aset tertinggi adalah Ahli Parlimen Segamat, Datuk Dr R Santhara Kumar (RM132.1 juta) diikuti Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham (RM77.0 juta) dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (RM32.3 juta).
Manakala senarai teratas bagi pendapatan bulanan tertinggi pula didahului Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir (RM105,641.76), Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming (RM101,160) dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (RM91,150).
Sumber: BH Online