Pelakon, Mona Allen berkongsi satu hantaran di laman Instagram baru-baru ini mengenai jihadnya dalam menyusukan anak.
Artikel Berkaitan: Dituduh Ikut Budaya Barat Buat Gender Reveal, Mona Allen Bukan Sengaja Suka-Suka
Artikel Berkaitan: Empat Tahun TTC Mona Allen Umum Hamil Enam Bulan, Pernah Buat Kaedah Perubatan Islam Sebagai Ikhtiar
Pastikan susu cukup
Menurut Mona, demi memastikan anak sulungnya itu mendapat penyusuan yang mencukupi bagi tumbesarannya, dia akan mencuba pelbagai cara untuk memastikan susu untuk Petra Pekin sentiasa ada dan bekalannya mencukupi terutamanya ketika dia keluar bekerja.
Menerusi hantaran yang dimuat naik pelakon berusia 37 ini, dia sanggup melakukan pelbagai ikhtiar demi menjaga kesihatan anaknya walaupun dia terpaksa makan dan minum dengan banyak agar dapat memberikan penyusuan yang optimum.
Selagi ada susu dibadan mummy, akan mummy berikan seluruhnya pada kamu. Biarlah mummy terpaksa minum dan makan banyak untuk pengeluaran susu yang optimum, janji kamu ceria dan sihat sentiasa.
Biarlah mummy terpaksa berjaga malam untuk menyusukan kamu, janji kamu tidak menangis kehausan. Biarlah mummy duduk berjam-jam lamanya, janji kamu selesa menyusu dalam keadaan begitu. Biarlah mummy bawa kamu ke sana ke sini, janji kamu tidak putus susu dengan mummy.
Ujar Mona lagi, semua ini bukanlah semudah yang disangka. Baginya, sebagai ibu menyusu, pastinya dia akan berasa bimbang apabila susu di dalam badan mengalami penurunan.
Ya, mummy mengaku penyusuan bukan semudah ABC. Bila susu ‘drop’, mummylah orang yang paling sedih dan susah hati.
Walau bagaimanapun, dia amat bersyukur dan berterima kasih kerana sentiasa mendapat sokongan daripada suaminya, Pekin Ibrahim yang menjadi tulang belakangnya selama ini. Bukan itu sahaja, pelakon Monalisa ini juga berdoa agar dia terus diberikan kekuatan tenaga selain turut menitipkan kata-kata semangat buat ibu menyusu di luar sana supaya tidak berputus asa.
Sumber: Instagram