Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor tampil meluahkan rasa kesalnya terhadap YouTuber dan pempengaruh yang dilihat menjemput tertuduh bagi kes pensundalan yang dikenali sebagai ‘Hot Daddy’ ke program podcast mereka.
Artikel Berkaitan: Netizen Kecam Jemput ‘Hot Daddy’ Ke Podcast, YouTuber Beri Penjelasan – ‘Kami Tak Pernah Sokong Perbuatan Tak Bermoral’
Gesa kerajaan ambil tindakan
Memetik laporan Berita Harian, Wan Salim berpendapat tindakan pempengaruh itu seakan mahu mempromosi serta menormalisasikan aktiviti pensundalan dalam kalangan masyarakat.
Tambahnya lagi, ia juga sedikit sebanyak mampu mempengaruhi minda remaja.
Sekiranya keadaan ini tidak dikekang atau dicegah, dibimbangi ia akan mempengaruhi remaja dan membawa mereka ke jurang keruntuhan akhlak.
Dalam pada itu, Wan Salim berharap agar pihak kerajaan memandang serius mengenai isu ini dan menggesa pihak yang bertanggungjawab untuk mengenakan tindakan tegas terhadap mereka.
Sehubungan itu, kita mohon pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi mendakwa penganjur podcast berkenaan mengikut undang-undang sedia ada.
Semoga ia menjadi pengajaran kepada semua pihak dan sebagai satu langkah mencegah tindakan menormalisasikan maksiat di negara ini.
Terdahulu, tindakan YouTuber dan pempengaruh, Bros Gang TV (BGTV) yang memuat naik gambar bersama individu tersebut telah mengundang kecaman netizen.
Menurut netizen, adalah tidak wajar untuk mereka menjemput seseorang individu yang secara terang-terangan terlibat dalam aktiviti persundalan di media sosial dan kini sedang berdepan dengan kes mahkamah.
Walau bagaimanapun, BGTV tampil menjelaskan bahawa mereka sama sekali tidak menyokong mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti yang tidak bermoral dan hanya mahu memaparkan realiti sebenar kehidupan kepada umum.
Sumber: Berita Harian