Bermula Jumaat ini, pihak TV3 bakal menggantikan program keagamaan, Al-Kuliyyah dengan program baru yang dikenali sebagai Muhammadku.
Secara umumnya, Muhammadku akan bersiaran selama 13 episod berturut-turut dan ianya bakal dikendalikan oleh pendakwah terkenal, Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid.
Menerusi program terbaru ini, Habib Ali akan menyampaikan pelbagai topik-topik menarik berkaitan akhlak Rasulullah S.A.W dan lebih menarik lagi apabila ianya akan turut diselitkan dengan replika set berupa madrasah berusia 1400 tahun dahulu.
Tujuan utama replika tersebut diterapkan dalam program ini adalah untuk mengimbas semula dakwah serta akhlak sebenar Nabi Muhammad S.A.W.
Selain itu, program ini akan turut dimeriahkan lagi dengan persembahan alunan Qasidah serta puji-pujian keatas baginda Rasulullah S.A.W yang akan disampaikan oleh kumpulan Ahbabul Hamid.
Untuk makluman semua penonton TV3 yang sememangnya berminat dengan program-program berunsurkan ilmiah seperti ini, jangan lupa untuk menyaksikan Muhammadku yang akan bersiaran pada setiap hari Jumaat bermula 4 Oktober, tepat jam 5.00 petang.
Sebagai rujukan, Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid merupakan pendakwah kelahiran Jawa Timur, Indonesia dan beliau pernah menuntut di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Kuala Lumpur.
Bagi mereka yang ingin menonton koleksi video dakwah Habib Ali, anda boleh boleh ke laman YouTube Muhamad Shafiq dan Darul Murtadza.