berita

‘Muka Ditutup Kain Hitam & Dibawa Menaiki Van’ – Detik Cemas Berdepan Tentera Israel

August 1st, 2018 | by Amat
Isu & Kontroversi

Pada awal Julai lalu, pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin, Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh bersama beberapa orang sukarelawan menyertai misi ‘Right to A Just Future for Palestine‘. Dalam misi tersebut mereka membawa bekalan ubat-ubatan bagi membantu penduduk Palestin yang cedera selepas serangan tentera Israel.

Segala detik cemas dan pengalaman berdepan tentera Zionis diceritakan sukarelawan ini. Dia mengambil keputusan untuk tidak meneruskan misi ini atas beberapa faktor peribadi. Pengalaman itu diceritakan sebaik saja selamat tiba di Malaysia hari ini.

Boleh ditembak bila-bila masa

Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh berkata keadaan ketika itu seperti dalam peperangan dimana kapal Al-Awda yang dinaiki mereka ditawan dari setiap sudut oleh tentera Israel. Menurut Metro, kapal Al-Awda itu hampir ke perairan Gaza iaitu sekitar 49 batu nautika dari perairan Gaza. Namun, kapten kapal warga Norway berkeras dan tetap mahu meneruskan perjalanan sehingga 40 batu nautika dari perairan berkenaan.

Tentera Israel rampas kapal kami dengan keadaan cukup kejam apabila 12 kapal perang tentera Zionis mengepung kami dari jauh termasuk kapal perang dan dipantau menggunakan dron dari udara. Pada ketika itu, saya merasakan kami sukarelawan boleh ditembak pada bila-bila masa sahaja. Kami membuang segala alatan yang boleh mencederakan termasuk garfu.

Selepas kapal terbabit ditawan oleh tentera Israel, semua sukarelawan dipaksa untuk ke perairan Israel yang mengambil masa perjalanan selama lima jam.

Diperiksa sampai mereka puas hati

Setibanya di sana, saya amat terkejut kerana ratusan tentera sedang menunggu kami, walhal saya rasa kami cuma nelayan dan tidak membawa sebarang kemudaratan. Kami perlu melalui beberapa fasa pemeriksaan ketat, bermula dengan cap jari sehingga melucutkan pakaian untuk diperiksa sampai tentera terbabit berpuas hati.

Muka kami kemudian ditutup dengan kain hitam lalu dibawa menaiki van, malah mereka tidak memberitahu dibawa ke mana. Kami kemudian dibawa ke penjara atas tuduhan memasuki Israel secara haram.

Tambahnya lagi, dia juga dipaksa untuk menandatangani surat akuan menceroboh Israel, namun bertegas mahu menandatangani surat terbabit sekiranya ada peguam di hadapan mereka.

Hari kedua ditahan, peguam saya datang dan beliau mengatakan saya selamat untuk menandatangani surat terbabit. Alhamdulillah selepas tandatangan, saya dibenarkan pulang dan dihantar oleh tentera terbabit pulang ke Malaysia melalui Bangkok.

Saya tiba di Bangkok dalam keadaan tidak mempunyai apa-apa. Wang saya sebanyak €469 (RM2,223.71) serta telefon bimbit dirampas dan hanya pulang bersama passport.

Bukan kerana takut

Di lapangan terbang Bangkok saya bertemu dengan seorang rakyat Malaysia bernama Daren Tan dan meminta beliau menghubungi isteri saya bahawa saya akan tiba ke Malaysia.

Tanggapan saya dipenjara mungkin berat untuk ibu saya terima. Kebanyakan sukarelawan yang keluar ini mahu menceritakan mengenai kekejaman tentera Zionis, dan bukan kerana takut.

Malah, dia bukan tidak mahu teruskan perjuangan tetapi terpaksa berbuat demikian selepas memikirkan keadaan ibunya yang sakit dan tinggal bersamanya. Bagaimanapun, Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh selamat tiba di Malaysia dengan menaiki penerbangan Thai Airways pada jam 7.40 malam tadi dan disambut oleh isteri dan dua anaknya.

Sumber: Metro 

SKIP THIS AD ×